Dengan pelancaran permainan Pokémon Sword dan Shield yang semakin hampir November ini, The Pokémon Company dan Game Freaks minggu ini memperlihatkan satu lagi video acah yang mana mereka memperkenalkan pesaing dan juga Pokémon baharu yang bakal pemain temui di rantau Galar permainan tersebut.
Pokémon pertama yang diperlihatkan adalah Weezing dalam bentuk Galar di mana ianya mempunyai rekaan yang agak berbeza dengan cerobong di atas kepalanya. Selain itu, Zigzagoon dan Linoone juga mempunyai rekaan yang berbeza buat rantau ini.

Menariknya sekali, Pokémon Linoone juga mempunyai evolusi yang berbeza iaitu Obstagoon khas buat rantau Galar, di mana ianya adalah Pokémon jenis “Dark” dan “Normal”.

Selain itu, Nintendo juga memperlihatkan seekor Pokémon khas, Morpeko di mana ianya boleh bertukar bentuk dari bentuk “Full Belly” kepada “Hangry” di mana ianya bukan sahaja menukarkan rupa bentuk Pokémon tersebut, malah jenis Pokémon juga bertukar dari “Electric” kepada jenis “Dark”.

Memandangkan rantau Galar merupakan satu rantau yang luas, Nintendo juga memperlihatkan dua lagi pesaing pelatih Pokémon yang bakal pemain tempuhi iaitu Bede dan Marnie. Menariknya sekali, Marnie mempunyai sekumpulan peminatnya sendiri iaitu Team Yell di mana mereka pasti memberi cabaran buat pemain sepanjang permainan Pokémon Sword dan Shield.

Tambahan itu, Game Freaks juga memperkenalkan satu fungsi ataupun sistem baharu yang bakal tiba buat permainan ini iaitu Poké Jobs di mana pemain berupaya untuk menghantar sebilangan Pokémon untuk menjalankan tugas seperti membantu pembinaan, memasak dan sebagainya. Dengan melakukan tugasan Poké Jobs tersebut, Pokémon juga bakal menerima ganjaran seperti nilai pengalaman dan ianya boleh di akses di mana-mana Pokémon yang terdapat di dalam permainan ini.
Pokémon Sword dan Pokémon Shield bakal dilancarkan pada 15 November 2019 ini khas di konsol Switch.