Informasi Permainan Video Terkini
5 Sebab Perlu Tonton Against The Odds – Dokumentari Kejayaan OG Di The International 2018

5 Sebab Perlu Tonton Against The Odds – Dokumentari Kejayaan OG Di The International 2018

Diterbitkan pada Ogos 8, 2019 oleh .

Kemaskini: Red Bull menyertakan dokumentari tersebut di Youtube, video kami sertakan di bawah.

Red Bull OG merupakan pasukan e-sukan DOTA 2 terdiri daripada Johan Sundstein (NOtail), Sebastian Debs (Ceb), Anathan Pham(Ana), Topias Taavitsainen (Topson) dan Jesse Vainikka (JerAx).

Mereka membuat kejutan pada tahun lepas dengan memenangi kejohanan terbesar bagi permainan tersebut iaitu The International 2018 (TI8), walaupun bukan satu pasukan jemputan terus.

Sebaliknya perlu melalui pusingan kelayakan sebelum dapat menempah tiket ke TI8 yang berlangsung di Vancouver, Kanada selepas berlakunya penukaran pemain kerana tiga ahli meninggalkan pasukan beberapa bulan sebelum kejohanan bermula.

Sebagai persediaan untuk The International 2019 (TI9) yang akan berlangsung bermula 15 Ogos sehingga 25 Ogos di Shanghai, China, Red Bull OG memilih Malaysia sebagai ‘kem latihan’. Apabila ditanya mengapa Malaysia dipilih, mereka sekadar mengatakan yang Malaysia mempunyai segala kelengkapan yang diperlukan serta mempunyai zon masa yang bersesuaian.

Red Bull juga mengambil kesempatan ini untuk melancarkan dokumentari mengenai kejayaan OG di TI8 iaitu Against the Odds. Ia memfokuskan bukan sahaja mengenai kemenangan bersejarah tersebut tetapi juga bagaimana pasukan OG terbentuk.

Saya berkesempatan untuk menontonnya semasa sidang pelancaran bagi dokumentari tersebut dan berikut adalah 5 sebab mengapa anda juga perlu menontonnya (kecuali jika anda adalah penyokong Evil Geniuses terutama Fly).

1. Percuma

Sebab pertama sudah semestinya kerana dokumentari ini ditawarkan percuma melalui laman Red Bull, ia tidak memerlukan sebarang pendaftaran akaun ataupun langganan. Sebaliknya, anda hanya perlu memasuki laman tersebut dan boleh terus menonton.

Jika dokumentari ini memerlukan bayaran ataupun hanya disertakan di Netflix contohnya, saya masih lagi akan mengesyorkan untuk anda menontonnya, inikan lagi ia adalah percuma.

2. Mesra Untuk Semua

Jika anda seperti saya, tidak sangat mengetahui mengenai DOTA 2, saya boleh katakan yang dokumentari ini dilakukan dengan memfokuskan kepada bagaimana pasukan OG terbentuk, jatuh-bangun mereka, iaitu sesuatu yang tidak memerlukan anda untuk memahami apa itu DOTA 2.

Manakala jika anda adalah pemain dan juga pengikut kejohanan DOTA 2, saya boleh katakan dokumentari ini adalah wajib untuk anda.

3. Dapat Memahami Kepentingan Kejohanan The International

Sambungan kepada no 2, pada permulaan dokumentari ini, ia ada serba sedikit menerangkan mengenai kejohanan terbesar DOTA 2 tersebut dan melaluinya penonton akan mula memahami kepentingannya dan bukan sahaja kerana ia menawarkan hadiah terkumpul ratusan juta ringgit.

Saya sendiri walaupun mengetahui serba sedikit mengenai kejohanan tersebut tetap mendapat perasaan baharu mengenainya. Bahkan saya menjadi teruja dengan TI9 disebabkan oleh dokumentari ini. Bagi saya ia adalah satu perkara yang bagus untuk membuka arena DOTA 2 kepada orang awam, walaupun tidak bermain sendiri.

4. Mengenali pemain OG

Apabila melihat pasukan e-sukan, kebiasaan kita sering sekadar mengetahui mengenai kejohanan yang disertai, kemenangan yang diperoleh, namun setiap pemain mempunyai penceritaan tersendiri.

Bagi saya yang biasa mengikut e-sukan pada keadaan permukaan sahaja, dokumentari seperti Against the Odds serba sedikit membuka mata saya mengenai usaha serta pengorbanan yang perlu oleh dilakukan oleh setiap pemain. Bagi saya mereka perlu diberikan penghormatan seperti mana diberikan kepada atlit-atlit sukan.

Bagi anda yang sudah mengikut pasukan OG, dokumentari ini juga banyak memberikan pelbagai penceritaan di belakang tabir yang mungkin tidak diketahui umum sebelum ini.

5. Dokumentari Yang Menyertakan Pelbagai Emosi

Dokumentari ini pada asasnya cuba menyampaikan bagaimana Red Bull OG melawan segala rintangan (against the odds) untuk memenangi TI8 yang diidam oleh setiap pemain DOTA 2, terutama NOtail yang sudah lama mencuba dan juga sebagai pengasas pasukan tersebut.

Selain itu ia juga menceritakan mengenai ‘persahabatan’ di antara NOtail dan Tal Aizik ataupun Fly. Bagi yang tidak kenal, mereka berdua merupakan pengasas OG sebelum Fly meninggalkan OG untuk menyertai Evil Geniuses sebelum TI8.

Melalui dokumentari ini, anda akan merasai kemarahan, kesedihan NOtail di atas ‘pembelotan’ Fly tersebut. Ia mungkin terasa terlalu drama untuk satu dokumentari, tetapi tetap menjadikan ia satu perkara yang menarik. Melainkan, seperti yang saya katakan sebelum ini, anda adalah penyokong Evil Geniuses ataupun Fly.

Ia juga berkongsi mengenai tekanan yang dihadapi oleh pemain-pemain OG apabila sering kalah ataupun apabila dikritik oleh netizen. Dengan kata lain, dokumentari ini tidaklah bosan sekadar menyampaikan maklumat tetapi juga diselitkan dengan pelbagai kejadian yang menarik untuk diketahui walaupun anda sudah mengetahui mengenainya sebelum ini.


Bagi saya dokumentari seperti ini serba sedikit membantu untuk membawa bukan sahaja sesuatu pasukan tetapi juga e-sukan itu sendiri kepada satu tahap yang berhak untuk diberi penghormatan yang lebih. Ia bukan sekadar memperlihatkan beberapa orang rakan bermain permainan video, tetapi ia juga mengenai usaha, kecekalan dan ketabahan untuk menghadapi segala rintangan.

Akhir kata, saya sangat mengesyorkan untuk anda meluangkan 1 jam 21 minit untuk menonton dokumentari ini, walaupun anda bukan pengikut DOTA 2, apatah lagi jika anda adalah seorang pemain.

Tonton: Against the Odds


TIPS & ULASAN