Informasi Permainan Video Terkini
EA Berkongsi Penambahan Untuk Mod Karier Di Dalam FIFA 20
PC

EA Berkongsi Penambahan Untuk Mod Karier Di Dalam FIFA 20

Diterbitkan pada Ogos 7, 2019 oleh .

Permainan simulasi bola sepak seperti FIFA dan PES menyediakan pelbagai mod untuk memenuhi keinginan setiap pemain yang berbeza. Antara mod tersebut adalah mod karier.

Hari ini, EA berkongsi penambahan serta perubahan yang akan disertakan di dalam mod karier terutama pengurusan di dalam FIFA 20. Perkara pertama yang ditambah adalah sidang media dan perbualan dengan pemain.

Menurut EA, sidang media dan perbualan dengan pemain tidak berlaku secara mendatar ataupun ‘mengikut skrip’, sebaliknya ia akan menilai cara pemain mengurus, kejadian semasa permainan untuk menentukan soalan yang akan ditanya semasa sidang media dan juga menentukan jenis perbualan dengan pemain.

Kedua-dua perkara tersebut akan menentukan kesan positif ataupun negatif terhadap semangat pemain. Semangat pemain juga akan ditentukan oleh prestasi pasukan serta pemain itu sendiri, jumlah masa bermain dan gaji. Semangat akan memberi kesan kepada prestasi pemain tersebut.

Pemain kini juga boleh menghasilkan sendiri rupa pengurus, tambah menarik lagi, anda juga boleh menjadi seorang pengurus perempuan. Selain rekaan semasa permulaan, pemain juga boleh tukar pakaian sepanjang musim.

Bagi perkembangan pemain pula, ia juga kini akan menyertakan perubahan potensi pemain yang dinamik. Sebagai contoh, jika pemain bermain dengan baik pada musim ini, potensi pemain tersebut akan meningkat. Jika pemain tersebut jarang ataupun memberikan prestasi yang kurang baik, potensi akan berkurangan.

Selain itu terdapat pelbagai lagi perubahan seperti antaramuka yang lebih memudahkan serta lebih menarik, penyampaian berita terkini dan juga AI akan menggunakan pasukan yang lebih realistik di mana mereka berharap AI tidak lagi menggunakan pasukan yang lemah semasa perlawanan yang penting.

Jika anda ingin membaca segala perubahan dan penambahan yang disertakan anda boleh membacanya melalui Pitch Notes yang dikongsikan oleh EA.

FIFA 20 akan dikeluarkan pada 27 September 2019 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.


TIPS & ULASAN