Informasi Permainan Video Terkini
Ini Adalah Video Acah Titans Musim Ke-2 – Mengimbau Kembali Kenangan Siri Animasi Teen Titans

Ini Adalah Video Acah Titans Musim Ke-2 – Mengimbau Kembali Kenangan Siri Animasi Teen Titans

Diterbitkan pada Ogos 7, 2019 oleh .

Ingat lagi atau tidak akan siri animasi Teen Titans yang disiarkan di Cartoon Network? Siri ini mula disiarkan di Cartoon Network pada tahun 2003 dan mempunyai 5 musim dan 1 filem. Populariti siri animasi ini adalah sangat hebat, sehinggakan ia memenangi beberapa anugerah. Tahun lepas, platform penstriman video DC Universe telah diperkenalkan. Salah satu siri TV eksklusif adalah Titans – iaitu seakan Teen Titans versi aksi nyata, lebih gelap, ganas dan untuk tontonan dewasa.

Titans musim pertama berakhir dengan Superboy keluar dari satu mesin dan turut kelihatan adalah anjing beliau Krypto. Kita akan lihat aksi mereka dalam musim kedua ini dan menurut sumber, dua watak ini akan memainkan satu peranan yang agak besar. Misi utama musim pertama juga adalah menewaskan bapa Raven, iaitu Trigon. Untuk musim kedua, misi mereka masih lagi sama – tetapi kini akan menempuhi lebih banyak musuh dan akhirnya menerima pelbagai bantuan dari adiwira lain. Video acah Titans musim kedua sudah pun diterbitkan dan kali ini ia lebih mengingatkan peminat kepada Teen Titans. Kenapa?

Ini kerana dalam video acah ini, ia memperlihatkan beberapa watak tambahan yang mirip dengan musuh utama siri animasi Teen Titans – iaitu Deathstroke. Selain itu, Raven juga kini sudah mempunyai berlian pada dahi yang lebih mirip dengan rekaan Raven yang sebenar. Kemudian Robin juga ada menyebut nama Teen Titans Next Generation, yang mana adalah satu pasukan adiwira remaja yang lebih hebat dari Teen Titans yang asal.

Jika itu tidak cukup menarik, dalam Titans musim dua ini kita juga akan lihat aksi Bruce Wayne/Batman. Watak ini dilakonkan oleh pelakon siri TV Game Of Thrones – Iain Glen. Selain itu watak adiwira lain adalah Aqualad dan kita juga akan melihat aksi Donna Troy dalam kostum penuh Wonder Girl.

Untuk watak penjahat pula, kali ini kita akan melihat banyak penjahat-penjahat dari komik DC. Selain Deathstroke dan Trigon, DC akan memperlihatkan aksi anak-anak Deathstroke seperti Jericho dan Ravager. Turut kelihatan adalah penjahat misteri dengan kostum seakan Metallo. Satu watak yang berkemungkinan Miss Martian juga turut kelihatan. Tidak pasti sama ada beliau adalah baik atau jahat, Starfire dan Wonder Girl dilihat sedang bertempur dengannya – jika baik mungkin ada salah faham berlaku.

Petanda kewujudan Superman wujud dalam dunia ini juga terdapat dalam Titans musim kedua. Ini kerana Natalie Gumede disahkan akan berlakon sebagai Mercy Graves, iaitu pembantu kepada Lex Luthor – musuh ketat Superman. Jalan cerita penuh buat musim kedua Titans ini masih tidak jelas. Untuk ketahui lebih lanjut, kita perlu nantikan video acah baharu dan terus tunggu siri ini mula disiarkan – iaitu pada 6 September di platform penstriman DC Universe.


TIPS & ULASAN