Setelah beberapa bulan sejak pengumuman acara Catalycasm buat permainan Anthem oleh BioWare sebelum ini, acara tersebut kini akhirnya dilancarkan secara rasmi melalui kemaskini permainan tersebut.

Seperti yang dijanjikan oleh EA sebelum ini, acara ini dilancarkan secara percuma buat semua pemilik permainan tersebut dan ianya menyertakan sebilangan kandungan baharu buat permainan tersebut. Namun, acara ini hanya boleh di akses oleh pemain yang sudah menyelesaikan misi “Incursion” di dalam penceritaan utama Anthem sahaja.

Menurut EA, kemaskini Cataclysm ini menyertakan lokasi baharu, acara bebas dan juga kandungan penceritaan baharu yang memfokuskan penjahat Vara dan Dominion Valkyries. Menariknya, untuk bertempur dengan mereka, pemain perlu bekerjasama bersama “Freelancer” yang lain dan misi-misi baharu yang tersedia juga mempunyai had masa yang mana pasti akan memberi cabaran buat pemain.

Selain itu, kemaskini juga akan menyertakan beberapa kandungan lain seperti fungsi pemarkahan yang pemain boleh bandingkan bersama pemain lain. Bagi anda yang ingin mengumpul kelengkapan dan senjata baharu, kemaskini ini juga menyertakan sebilangan kandungan-kandungan tambahan yang pemain boleh dapatkan khas melalui acara ini.

Menariknya sekali, kemaskini ini juga menyertakan sistem baharu yang dipanggil Inversion di mana ianya akan memberi bantuan ataupun kelemahan dari segi statistik sut “Javelin” pemain seperti tingkatkan serangan, tingkatkan kerosakan dan sebagainya.

Bagi anda yang ingin mengetahui kesemua kemaskini yang diumumkan, anda boleh ke pautan rasmi oleh Electronic Arts.

Anthem telah pun dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Semestinya dengan kemaskini ini, permainan ini mungkin akan menarik minat kembali “Freelancer” di luar sana dan bagi anda yang memiliki permainan ini, pastikan anda memuat-turun kemaskini ini sekarang dan mencubanya.

Sohor Kini