Supermassive Games sebelum ini telah berkongsi yang selain permainan solo, The Dark Pictures: Man of Medan juga akan menyertakan mod multi-pemain iaitu secara setempat melalui mod Movie Night dan secara dalam talian melalui mod Shared Story.

Hari ini mereka berkongsi lanjut mengenai mod Shared Story, di dalam video tersebut mereka memperlihatkan bagaimana pemain bermain secara multi-pemain dan menghasilkan penceritaan yang berbeza mengikut pilihan dan keputusan setiap pemain.

Video tersebut juga memperlihatkan bagaimana watak yang dikawal oleh seorang pemain boleh berada di tempat berbeza dan melakukan aktiviti berlainan berbanding watak yang dikawal oleh pemain lain. Mereka juga boleh berkomunikasi sesama sendiri dan mungkin berbincang sebelum memilih keputusan tertentu.

Mereka juga menegaskan penceritaan adalah menarik untuk dimainkan secara solo dan juga secara multi-pemain dan akan memastikan setiap pemain mempunyai jumlah aktiviti yang sama dengan pemain yang lain.

Berdasarkan apa yang diperlihat, saya boleh katakan mod Shared Story adalah seperti bermain Detroit: Become Human tetapi secara multi-pemain.

The Dark Pictures: Man from Medan akan diterbitkan oleh Bandai Namco pada 30 Ogos 2019 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Sohor Kini