Setiap kali adanya pengumuman baharu mengenai permainan yang akan dikeluarkan secara eksklusif di Epic Games Store, ia sering akan menerima tentangan daripada pemain, ada secara baik, ada juga yang melampau sehingga melepaskan amarah mereka kepada pembangun.
Terbaru adalah permainan indie Ooblets iaitu permainan simulasi berkebun yang buat masa ini tidak mempunyai sebarang tarikh pengeluaran tetapi dijangkakan tiba sekitar tahun ini.

Berbanding permainan lain, pembangun Ooblets iaitu Glumberland telah menulis satu artikel menerangkan ‘mengapa’ keputusan tersebut di buat, namun, agak mengecewakan, apa yang difokuskan oleh sesetengah pemain adalah Glumberland berjenaka mengenai pemain tidak seharusnya terlalu bersifat negatif mengenai Epic Games Store eksklusif.
Jika anda pernah membaca penulisan saya sebelum ini mengenai Epic Games Store ekslusif bukan satu perkara yang baik akan tetapi ia diperlukan, ia sepatutnya serba sedikit menyatakan mengapa Epic Games Store cuba untuk mendapatkan permainan secara eksklusif.
Bagi bahagian pembangun, saya juga ada menulis mengenai mengapa ia adalah masuk akal untuk Deepsilver mengeluarkan Metro Exodus secara eksklusif di Epic Games Store. Ia adalah sama untuk permainan Ooblets.
Berdasarkan dua penulisan saya tersebut, sudah boleh dirumuskan yang saya secara peribadi tidak mempunyai masalah jika sesuatu permainan dikeluarkan secara eksklusif di Epic Games Store dan bagi saya jika mereka mendapat kelebihan tersebut, saya akan berasa gembira untuk syarikat pembangun.
Tawaran Eksklusif Adalah Perkara Yang Baik Untuk Pembangun
Tawaran eksklusif bagi saya memberikan syarikat pembangun sesuatu yang tidak boleh diberikan dengan cara yang lain melainkan ia diterbitkan oleh satu syarikat yang besar, iaitu kestabilan pendapatan.
Saya ingin mengambil contoh Ooblets, walaupun mereka tidak menyatakan berapa jumlah yang mereka akan peroleh melalui tawaran eksklusif tersebut, tetapi mereka mengatakan Epic Games Store akan membayar kadar minimum yang Glumberland berharap diperoleh dengan penjualan Ooblets di kedai-kedai dalam talian lain.
Jaminan tersebut adalah satu perkara yang sangat berguna di dalam industri permainan video, iaitu satu industri yang sangat rapuh. Kebanyakan pembangun, terutama indie, berbelanja kesemua kewangan mereka untuk membangun satu permainan, jika permainan tersebut gagal, kemungkinan besar syarikat pembangun tersebut juga akan gulung tikar.
Glumberland juga mengatakan dengan wang yang diperoleh daripada perjanjian bersama Epic Games Store dapat membantu mereka untuk memastikan pembangunan permainan tersebut dapat diteruskan tanpa gangguan. Itulah kestabilan pendapatan yang bukan mudah untuk diperoleh.
Apabila Epic Games Store menawarkan perkara tersebut, adakah pembangun perlu menolak sekadar untuk memastikan pemain tidak “terasa hati”?
Jason Schreier iaitu editor untuk Kotaku melalui kicauan di akaun Twitter beliau mengatakan yang beliau sudah bercakap dengan 2 pembangun indie dan mengatakan perjanjian bersama Epic Games Store membantu mereka untuk mencapai pulangan modal walaupun sebanyak mana jualan sebenar permainan tersebut.
Jika anda melakukan satu perniagaan dan menerima tawaran yang mengatakan tidak kira jika perniagaan anda laris ataupun tidak tetapi anda sudah mendapat pulangan untuk pelaburan yang anda lakukan, adakah anda akan menolak? Saya sangat meraguinya.
Mitos Permainan Yang Baik Akan Terjual Sendiri
Antara hujah yang dinyatakan oleh sesetengah pemain mengenai mengapa permainan tidak perlu menerima tawaran eksklusif di Epic Games Store adalah, selagi mereka menghasilkan permainan yang baik, ia akan terjual dengan sendiri.
Bagi saya, ia adalah satu hujah yang sangat tidak tepat. Benar, antara perkara yang akan menentukan penjualan sesuatu permainan adalah kualiti permainan itu sendiri akan tetapi ia adalah bahagian kecil sahaja.

Sudah ada banyak contoh yang kita boleh ambil di mana permainan memberikan kualiti yang baik, menerima ulasan yang baik daripada media akan tetapi penjualan tetap mengecewakan.
Ketidakpastian tersebut adalah satu perkara yang sangat dikhuatiri oleh pembangun permainan video tambahan lagi pembangun indie yang tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk mereka terus kekal menyokong sesuatu permainan selepas dikeluarkan dengan penjualan yang sedikit semasa dilancarkan.
Pemasaran juga penting untuk sesuatu permainan dan ia akan memerlukan perbelanjaan yang mahal, satu kelebihan yang tidak ada untuk pembangun permainan indie. Mereka akan berharap pemasaran kecil-kecilan sahaja, dan ia adalah antara sebab, permainan yang baik tidak terjual dengan baik.
Ini ditambah lagi dengan masalah cetak rompak yang masih lagi merupakan satu masalah untuk di PC, kebanyakan permainan indie tidak mempunyai sebarang DRM melainkan DRM yang hadir bersama kedai dalam talian. Apabila permainan mereka dikeluarkan, boleh dikatakan pada hari yang sama, permainan tersebut akan terus dikeluarkan secara cetak rompak.
Saya juga berpendapat, elemen nasib juga memainkan peranan sama ada sesuatu permainan akan terjual dengan baik. Oleh kerana nasib bukan sesuatu yang dapat di kawal, mereka perlu mencari cara yang terbaik untuk “melawan” ketidakpastian nasib.
Kritikan Sebenar Harus Diberikan Kepada Epic Games Store
Satu perkara yang saya faham mengapa pemain tidak menggemari permainan dikeluarkan secara eksklusif di Epic Games Store adalah ia masih ketinggalan berbanding Steam jika dibandingkan fungsi serta kelebihan yang disediakan.
Antaranya adalah tiada tawaran harga setempat, Steam menawarkan dalam ringgit, manakala Epic Games Store masih menggunakan USD. Ia adalah perkara yang saya juga inginkan daripada Epic Games Store, akan tetapi mengikut pemerhatian saya, tawaran harga walaupun di dalam USD masih murah jika dibandingkan dengan harga di benua lain.


Ini adalah kerana mereka sudah memperkenalkan penghargaan setempat walaupun tidak menyeluruh dan tidak menggunakan mata wang tempatan.
Selain itu, Epic Games Store juga dikritik kerana mempunyai klien yang sekadar untuk memuat turun dan bermain sahaja. Bagi saya ia adalah kritikan yang benar, tetapi saya merasakan ia adalah perkara yang sudah semestinya diberi perhatian oleh Epic Games.
Baru-baru ini mereka mula memperkenalkan simpanan awan tetapi secara berperingkat dan tidak hadir untuk semua lagi.
Seperti yang saya perkatakan sebelum ini, selain mendapatkan permainan eksklusif, Epic Games juga harus meningkatkan kualiti klien mereka kerana ia kini bukan sekadar untuk permainan Fortnite sahaja.
Namun, kritikan harus diberikan dengan cara yang betul. Pemain tidak harus mengkritik pembangun permainan kerana memilih untuk menjadikan secara eksklusif disebabkan kekurangan yang ada pada kedai dalam talian tersebut.
Sebaliknya, kritikan tersebut harus diberikan kepada Epic Games agar mereka meningkatkan kualiti klien yang disediakan. Kritikan juga harus diberikan mengenai kekurangan yang ada dan bukan mengenai sama ada permainan tersebut dikeluarkan secara eksklusif ataupun tidak.
Kritikan permainan dikeluarkan secara eksklusif, tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan yang ada pada Epic Games Store.
Akhir kata, bagi saya sudah tiba masa untuk kita beralih daripada mengkritik pembangun permainan video yang memilih untuk menjadikan sesuatu permainan eksklusif di mana-mana kedai dalam talian.
Saya juga pernah mengatakan yang mengambil permainan secara eksklusif bukanlah satu strategi jangka panjang untuk Epic Games, mereka juga perlu mendapat pulangan daripada pelaburan yang sudah dilakukan.
Oleh disebabkan itu, pemain juga harus beralih daripada mengkritik Epic Games Store mengenai permainan eksklusif, sebaliknya memfokuskan kritikan kepada sesuatu yang lebih membina seperti fungsi-fungsi yang diinginkan untuk hadir di klien Epic Games Store.
Sesuatu yang pasti, sama ada permainan itu dikeluarkan secara eksklusif ataupun tidak, selagi mana saya berminat dengan tawaran permainan tersebut saya akan tetap membelinya.
Bagaimana dengan anda? Adakah anda kisah mengenai Epic Games Store eksklusif? Jika ya, apakah perkara utama yang tidak disukai oleh anda?