Tyler Blevins atau lebih dikenali sebagai Ninja yang merupakan antara penstrimer utama di Twitch. Hari ini beliau mengumumkan telah meninggalkan Twitch untuk melangsungkan strim beliau secara eksklusif di Mixer.
Mixer merupakan platform penstriman oleh Microsoft yang beroperasi secara rasmi 3 tahun lepas. Pengumuman ini sudah semestinya satu perkara yang besar untuk kedua-dua platform tersebut.
Ia merupakan satu lagi ‘masalah’ yang dihadapi oleh Twitch setelah sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, manakala Mixer pula memperlihatkan komitmen mereka untuk platform tersebut.
Buat masa ini, Ninja ataupun Microsoft tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai kerjasama ini. Ninja yang sebelum ini dilaporkan menerima RM4 juta untuk bermain Apex Legends, dikatakan menerima satu jumlah yang besar untuk perkara ini.
Mixer juga kini memberikan langganan untuk channel Ninja secara percuma selama sebulan (bernilai ~RM25) dan menurut kicauan akaun Twitter Ninja, ia kini sudah mempunyai 100 ribu akaun yang menjadi pelanggan.
Rami Ismail iaitu pembangun permainan indie mengambil kesempatan ini untuk membandingkan perkara ini dengan perjanjian yang dilakukan oleh pembangun permainan untuk mengeluarkan permainan secara eksklusif melalui Epic Games Store.
Apa pendapat anda mengenai perkara ini? Adakah ia satu perkara yang berbaloi untuk Microsoft dan Mixer? Serta, adakah ia pilihan yang tepat oleh Ninja?