Skip to main content

M.A.T.A adalah satu organisasi perisik yang ditubuhkan di Cyberaya. Menurut video acah kedua Ejen Ali The Movie, M.A.T.A ini ditubuhkan oleh Dato’ Othman, iaitu Datuk Bandar Cyberaya. Atas kecuaian beberapa orang penjahat yang melibatkan Ali, Ali secara tidak sengaja mengaktifkan satu gajet yang digelar I.R.I.S. Pengaktifan gajet ini secara tidak langsung menjadikan Ali sebagai salah seorang ejen buat M.A.T.A.

[info] Baca Sebab Apa Wajib Kita Tonton Filem Ejen Ali The Movie [/info]

Semalam, video acah baharu Ejen Ali telah diterbitkan. Dalam video kali ini ia memperlihatkan sedikit sebanyak misi sebenar yang Ejen Ali dan pasukan perlu selesaikan. Video acah yang sebelum ini seoalah memberi plot twist terhadap Dato’ Othman, sama ada beliau adalah insan yang baik atau seorang penjahat. Ini adalah kerana intonasi beliau menjelaskan yang ‘seseorang’ itu bekerja dengannya kerana beliau yang tubuhkan M.A.T.A.

Kemudian, satu serangan telah berlaku ke atas Dato’ Othman. Dalam video acah terbaru ini, ia menjelaskan yang serangan ini dilakukan oleh dari pihak luar. Sut dan senjata yang digunakan dilihat lebih canggih dan ganas dan ia bukan buatan M.A.T.A. Adakah terdapat satu konspirasi kerajaan yang tidak dijelaskan di sini? Organisasi apa yang ingin menyerang Dato’ Othman? Siapakah dalangnya? Mampukah Ejen Ali dan pasukan menyelesaikan misi ini?

Bercakap lagi mengenai misi. Judul lain buat Ejen Ali The Movie adalah Ejen Ali – Misi: Neo. Apa itu NEO? NEO atau nama penuhnya I.R.I.S NEO adalah gajet I.R.I.S yang dinaiktaraf. Ia dilihat lebih canggih dan gajet ini berkemungkinan besar adalah sebab serangan ini berlaku. Jika kita ikuti trend filem-filem perisik yang menggunakan gajet-gajet canggih – watak utama kebiasaannya akan terus menggunakannya. Jadi, Ejen Ali mungkin akan menggunakan NEO untuk menaiktaraf kebolehan beliau.

Animasi Ejen Ali The Movie ini dilihat amat baik. Malah berani saya katakan ia kelihatan lebih baik daripada mana-mana animasi lain di Malaysia. Pergerakan yang sungguh lancar, rekaan watak yang kemas dan kelihatan gempak, pergerakan rambut yang lebih sedap mata memandang dan juga banyak butiran-butiran yang memberi petanda yang ini adalah filem animasi 3D Malaysia yang paling hebat.

Tiada tarikh tayangan lagi buat filem animasi Ejen Ali – Misi: Neo ini. Tetapi yang pasti ia akan ditayangkan tahun ini dan ia dijangka adalah pada penghujung tahun. Untuk saksikan sama ada adakah benar ini animasi paling hebat, sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply