Activision hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan acara Grand Prix kedua buat permainan perlumbaan Crash Team Racing Nitro-Fueled, iaitu “Back N. Time” bermula 2 hingga 25 Ogos ini.
Melalui acara ini, Activision akan menyertakan pelbagai kandungan tambahan termasuklah watak baharu yang pemain boleh dapatkan.
Seperti sebelum ini, acara Grand Prix ini akan dilancarkan secara percuma buat semua pemilik permainan tersebut, namun ianya memerlukan pemain berada atas-talian untuk mendapat kemaskini acara tersebut.
Melalui acara Back N. Time kali ini, ianya akan bertemakan permainan prasejarah dengan pelbagai lokasi dinosaur. Berikut merupakan imej rasmi khas oleh Activision untuk segala kandungan baharu bagi acara ini.

Perkara pertama yang bakal tiba melalui acara ini adalah litar baharu “Prehistoric Playground” yang mana pemain berupaya untuk berlumba di lokasi prasejarah tersebut. Selain itu, acara ini juga akan menyertakan pelbagai cabaran-cabaran baharu yang pemain boleh lakukan, untuk mendapat nilai Nitro bagi menyah-kunci pelbagai ganjaran seperti watak Baby T dari Crash Bandicoot 3: Warped dan jgua watak bayi Crash dan Coco.
Selain itu, Activision juga akan menyertakan pelbagai kandungan melalui kedai di dalam permainan, Pit Stop yang mana pemain boleh dapatkan rekaan badan kart, pelekat, watak dan sebagainya. Untuk senarai penuh cabaran dan kandungan lain, anda boleh membacanya melalui kenyataan rasmi Activison.
Menariknya, Activision juga mengesahkan bahawa mereka akan menyertakan bentuk mikro-transaksi melalui kedai di dalam permainan, Pit Stop tersebut bermula awal Ogos di mana pemain berupaya untuk membeli Wumpa Coin untuk membeli kandungan dan barangan yang terdapat di dalam permainan tersebut.
Crash Team Racing Nitro-Fueled telah pun dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan Switch pada Jun lepas di mana kami sebelum ini juga telah pun membuat ulasan penuh buat permainan tersebut, di mana anda boleh membacanya di pautan di bawah.