Sony hari ini mengeluarkan laporan kewangan bagi suku pertama tahun fiskal 2019 yang berakhir pada bulan Jun lepas. Bagi bulan April sehingga Jun, PlayStation 4 telah terjual sebanyak 3.2 juta unit iaitu menyamai jumlah pada suku pertama untuk tahun fiskal 2017.
Kami sebelum ini melaporkan yang PlayStation 4 telah terjual sebanyak 91.6 juta unit bagi suku ketiga tahun fiskal 2017 yang berakhir pada 31 Disember 2017. Bagi suku terakhir untuk tahun fiskal tersebut yang berakhir pada Mac tahun ini, konsol tersebut terjual sebanyak 2.6 juta unit yang membawa jumlah keseluruhan kepada 94.2 juta unit.
Dengan penambahan untuk suku pertama di atas, jumlah keseluruhan bagi penjualan PS4 buat masa ini adalah 97.4 juta unit yang kami jangkakan akan mencecah 100 juta unit sebelum berakhirnya tahun ini.
Selain itu, Sony juga mengumumkan bagi suku pertama, jumlah permainan terjual adalah sebanyak 42.9 juta unit di mana 53% daripada jumlah tersebut adalah pembelian secara digital (ini adalah pertama kali sejak tahun lepas, digital mendahului fizikal).
Manakala bagi pelanggan PS Plus pula, Sony mengumumkan terdapat 36.2 juta pelanggan iaitu penurunan sebanyak 0.2 juta pelanggan berbanding suku terakhir tahu fiskal yang lepas.
Walaupun sudah lebih 5 tahun dikeluarkan, tampaknya jualan konsol PlayStation 4 masih kukuh dan ia terus kekal relevan seperti mana jangkaan kami sebelum ini.