Skip to main content

Bohemia Interactive hari ini mengumumkan DLC baharu untuk permainan simulasi ketenteraan Arma 3 kini boleh diperoleh. DLC bernama Arma 3 Contact akan menyertakan kempen berdasarkan makhluk asing.

DLC ini akan menyertakan kempen permainan solo di mana pemain akan menjadi seorang pengendali dron untuk NATO untuk menyiasat mengenai kehadiran kapal angkasa misteri.

Kempen yang digelar sebagai “First Contact” akan memerlukan pelbagai pertempuran dan pada masa yang sama juga terdapat bentuk permainan yang tidak akan melibatkan pertempuran.

Selain kempen untuk permainan solo, DLC ini juga akan menyertakan pelbagai penambahan lain, antaranya adalah satu kawasan seluas 163 kilometer persegi untuk mod permainan sandbox. Ia menyertakan pelbagai kawasan emnarik seperti kilang lama, stesen radar terbiar dan juga bunkers dari zaman perang dunia ke-2.

Kandungan-kandungan baharu lain yang disertakan adalah 2 puak (Livonian Defense Force dan Russian Spetsnaz), 5 senjata (Promet Assault Rifle, RPK-12 Light Machine Gun, AKU-12 Carbine, Mk14 Classic Hunting Rifle, dan Kozlice Shotgun), 2 kenderaan (Ed-1 Mini UGV dan the Tractor), dan senario untuk mod multi-pemain.

DLC Arma 3 Contact boleh didapati dengan harga RM89.99 dan ia memerlukan permainan asal Arma 3. Arma 3 Contact Edition juga dijual yang mengandungi Arma 3 dan DLC ini dengan harga RM167.19. Selain itu terdapat juga Arma 3 Ultimate yang menyertakan kesemua kandungan Arma 3 dijual dengan harga RM333.36.

Leave a Reply