Sebagai pemilik konsol Xbox One, saya sememangnya tidak begitu menyukai rekaan paparan antara muka buat konsol Xbox One yang mana pendapat saya ianya agak semak dan terlalu banyak paparan remeh yang terdapat hub utama.

Terkini, untuk membaiki masalah tersebut, Microsoft memperlihatkan paparan antara muka baharu buat konsol Xbox One, yang mana mereka mengubah beberapa aspek utama buat hub utama tersebut.

Melalui imej di atas, Microsoft menyatakan bahawa mereka mengemaskini hub utama tersebut dengan paparan utama yang lebih lancar di mana mereka membuka labih banyak ruangan untuk permainan-permainan yang dimainkan oleh pemain.

Selain itu, mereka juga mengubah akses untuk ke Xbox Game Pass, Mixer, Xbox Community dan Microsoft Store ke bawah, sekaligus ianya menjadi lebih cepat untuk pemain ke paparan tersebut.

Selain itu, Microsoft juga mengubah beberapa aspek arahan suara buat konsol Xbox One yang mana ianya dikembangkan lagi selepas kemaskini yang dilaporkan oleh kami sebelum ini.

Melalui kemaskini ini, pemain tidak lagi berupaya untuk memberi arahan suara buat Cortana melalui konsol Xbox One dengan penggunaan fon kepala, tetapi ianya akan di bawa kepada bentuk atas awan melalui peranti telefon pintar. Sekaligus sebarang arahan suara termasuklah arahan buat konsol Xbox One boleh dilakukan melalui telefon pintar sahaja.

Buat masa ini, rekaan paparan antara muka baharu ini dan arahan suara tersebut hanyalah terhad buat mereka yang mempunyai akses Xbox Insiders sahaja. Sekaligus, rekaan ini masih belum lagi dilancarkan secara umum. Bagi anda yang mempunyai akses Xbox Insiders, anda boleh mencuba menggunakan paparan baharu ini dan juga berkongsi sebarang maklum balas melalui laman reddit Xbox Ideas Hub.

Sohor Kini