Ini merupakan penulisan mengenai Xenoblade Chronicles 2, tetapi bukan satu ulasan kerana saya merasakan tidak adil untuk mengeluarkan ulasan bagi permainan yang saya tidak sepenuhnya mencuba segala kandungan yang diberikan.
Namun, ia juga mempunyai pendapat saya mengenai permainan ini, positif dan juga negatif yang serba sedikit boleh membantu anda untuk menilai jika ia berbaloi untuk dicuba.
Sebelum itu, izinkan saya serba sedikit menerangkan mengenai apakah itu Xeno iaitu siri permainan di mana Xenoblade Chronicles 2 berada.
Xeno, Xenogears, Xenosaga
Xeno merupakan siri permainan yang dicipta oleh Tetsuya Takahashi melalui permainan pertama iaitu Xenogears yang dikeluarkan pada tahun 1998 untuk konsol PlayStation. Ia diterbitkan oleh Square (yang kini adalah Square Enix).
Tetsuya sebelum Xenogears, banyak terlibat di dalam permainan keluaran Square seperti siri permainan Final Fantasy (IV, V, VI, VII), Front Mission dan Chrono Trigger tetapi kebanyakan sebagai pereka grafik sahaja.

Xenogears menjadi permainan pertama yang ditulis serta diarah oleh beliau sendiri. Satu fakta yang menarik, penceritaan permainan ini pada asalnya dicadangkan sebagai sebahagian plot untuk Final Fantasy VII tetapi dijadikan sebagai permainan tersendiri kerana dikatakan tidak sesuai untuk siri Final Fantasy.
Pada tahun 1999, beliau meninggalkan Square dan menubuh Monolith Soft bersama dengan Masaya Nakamura iaitu pengasas Namco (kini sebahagian Bandai Namco).
Berdasarkan temubual di antara beliau dan Gamespot pada tahun 2006, beliau membuat keputusan tersebut kerana pada waktu itu, Square ingin memfokuskan pembangunan mereka untuk permainan Final Fantasy.
Beliau juga mengatakan yang sangat tidak menyukai keputusan yang dibuat oleh Square dan merasakan ia boleh membawa kerugian kepada syarikat pembangun dari Jepun tersebut.

3 tahun selepas Tetsuya menubuhkan Monolith Soft, permainan seterusnya di dalam siri Xeno akhirnya dikeluarkan iaitu Xenosaga Episode I yang dikeluarkan untuk PlayStation 2 pada tahun 2002.
Permainan seterusnya di bawah Xenosaga dikeluarkan setiap 2 tahun kemudian iaitu Xenosaga Episode II pada tahun 2004 dan Xenosaga Episode III pada tahun 2006 dan kesemuanya untuk konsol PlayStation 2, Tetsuya juga mula memberikan pembangunan siri ini kepada pasukan baharu.
Xenosaga I & II yang membawa penceritaan Episode I dan Episode II juga dikeluarkan untuk Nintendo DS pada tahun 2006. Selepas Episode III, siri Xeno tidak menerima permainan baharu sehinggalah Xenoblade Chronicles.
Siri Xenoblade Chronicles
Xenoblade Chronicles yang pertama dikeluarkan pada tahun 2010 (2011 secara global) untuk konsol Nintendo bagi generasi konsol ke-7 iaitu Wii. Ia adalah 3 tahun selepas Nintendo mengambil alih Monolith Soft daripada Bandai Namco. Permainan tersebut juga di bawa ke Nintendo 3DS pada tahun 2015.
Semasa dikeluarkan, ia merupakan antara permainan JRPG yang saya sering dengar dan berminat tetapi kerana tidak memiliki kedua-dua konsol tersebut, ia adalah permainan yang sekadar saya impikan.
Pada tahun yang sama Xenoblade Chronicles di bawa ke 3DS, Xenoblade Chronicles X dikeluarkan untuk konsol Wii U, oleh kerana perkara yang sama iaitu saya tidak memiliki konsol tersebut, ia satu lagi permainan yang saya tidak pernah cuba.
Xenoblade Chronicles 2 Untuk Switch
Pada tahun 2017, Xenoblade Chronicles 2 akhirnya diumumkan bersama dengan pelancaran Nintendo Switch dan ia dikeluarkan pada akhir tahun tersebut. Walaupun saya teruja kerana akhirnya dapat mencuba permainan Xenoblade Chronicles dan juga mencuba buat pertama kali permainan di dalam siri Xeno, hanya tahun ini barulah saya berkesempatan untuk mencubanya.

Kita sering mendengar yang permainan RPG terutama JRPG mengambil masa yang lama untuk ia menjadi sesuatu yang menarik. Saya boleh katakan Xenoblade Chronicles 2 adalah contoh terbaik untuk kenyataan tersebut.
Saya boleh katakan untuk 10 hingga 20 jam pertama, anda mungkin merasa bosan dan sesetengah pemain mungkin juga terus berputus asa dan tidak menyambungnya. Namun, saya boleh katakan apabila penceritaan mula berkembang, saya pasti anda akan terus bermain sehingga habis.
Penceritaan Yang Mendalam
Perkara terbaik yang saya boleh katakan mengenai permainan ini adalah penceritaan dan juga watak yang ada.
Di dalam dunia Xenoblade Chronicles, negara ditubuhkan di atas Titans iaitu raksasa gergasi yang berterbangan di kawasan awangan digelar sebagai “Cloud Sea”. Permainan ini mengikut watak utama bernama Rex iaitu seorang salvager. Di mana beliau akan terjun ke Cloud Sea untuk mencari barangan untuk dijual.
Rex menjadikan seekor Titan yang dipanggil sebagai Gramps sebagai tempat tinggal beliau. Pada awal penceritaan, Rex diupah untuk membantu tiga watak lain iaitu Jin, Malos dan Nia, memasuki satu kapal lama.

Di dalam kapal tersebut, Rex menjumpai Pyra iaitu seorang Blade. Blade boleh dikatakan adalah senjata di dalam bentuk manusia, mereka mempunyai kuasa tetapi perlu mempunyai Driver iaitu manusia yang “membangunkan” mereka.
Selepas kejadian di dalam kapal tersebut, Rex menjadi driver kepada Pyra dan bermulalah pengembaraan mereka untuk menuju ke satu tempat yang dikatakan tempat bermulanya segala kehidupan iaitu Elysium atas permintaan Pyra yang ingin berjumpa dengan “pencipta”.
Terdapat juga satu kumpulan penjahat yang menggunakan nama Torma, mereka juga ingin menuju ke Elysium tetapi dengan tujuan lain iaitu untuk memusnahkan segala kehidupan.


Selain penceritaan mengenai Rex dan Pyra serta Torma, penceritaan juga disertakan degan konflik politik yang berlaku di antara negara-negara yang ada. Konflik tersebut secara langsung dan tidak langsung turut melibatkan Rex, Pyra dan juga kumpulan Torma.
Penceritaan yang disediakan bagi saya sangat mengasyikkan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia adalah kekuatan utama untuk permainan ini. Perkara yang berjaya menjadikan permainan panjang ini, boleh di hadam.
Permainan ini juga mempunyai banyak watak-watak yang menarik bahkan ia menjadikan Rex yang sepatunya watak utama, watak yang paling lemah. Jika ingin dibandingkan dengan watak-watak lain, Rex sangat menjengkelkan.
Ia mungkin sedikit mengganggu pengalaman bermain akan tetapi Rex akan dikelilingi oleh pelbagai watak menarik, dan juga Blades yang akan membuatkan anda lupa dengan kelemahan yang di bawa oleh Rex.
‘Gacha’ Di Dalam Permainan Berbayar?
Elemen seterusnya yang penting di dalam permainan ini, tetapi tidak semestinya yang baik, adalah Blades. Konsep yang ringkas adalah Pyra adalah seorang ‘blades’ yang ‘dibangunkan’ oleh Rex. Oleh kerana itu, Rex menjadi ‘driver’ kepada Pyra.
Namun, seorang driver boleh membangunkan lebih daripada satu blades. Dengan menggunakan Crystal Cores, Rex dapat mendapatkan berpuluh blades yang lain. Jika anda biasa bermain permainan ‘gacha’ di peranti pintar, ia menggunakan konsep yang sama.


Mungkin satu perkara yang positif adalah Crystal Cores hanya boleh diperoleh dengan bermain dan tidak boleh dibeli menggunakan pembelian di dalam permainan. Walaupun begitu, bagi saya konsep ini bukanlah satu konsep yang baik untuk disertakan di dalam permainan, bahkan ia sangat menjengkelkan.
Saya lebih menyukai jika setiap Blades boleh diperoleh dengan melakukan misi (seperti beberapa Blade) berbanding berharap kepada nasib. Bagi pemain yang mempunyai masa terhad, bermain semata-mata untuk mendapatkan kesemua Blade, bukanlah satu pilihan yang ada. Lebih mengecewakan, sesetengah Blade mempunyai penceritaan tersendiri, dengan kata lain walaupun anda membeli permainan ini akan tetapi anda tidak semestinya dapat kandungan yang penuh.
Selain Blades, terdapat juga perkara lain yang rawak. Antaranya adalah untuk mencari bahan-bahan semasa mengembara, apa yang diperoleh adalah bergantung kepada nasib anda dan ia tidak tetap. Oleh disebabkan kebanyakan misi sampingan yang disertakan memerlukan pemain untuk mendapatkan barangan tertentu ia sudah semestinya satu perkara yang sangat menyusahkan dan membuatkan misi sampingan menjadi leceh untuk dilakukan.
Sistem Pertempuran Pasif Agresif
Perkara seterusnya yang saya ingin cakapkan mengenai Xenoblade Chronicles 2 adalah sistem pertempuran. Walaupun ia merupakan permainan aksi RPG akan tetapi sistem pertempuran yang disediakan lebih pasif berbanding permainan yang mempunyai genre yang sama.
Kebanyakan serangan yang dilakukan ada secara automatik, dan pemain hanya boleh menukar blade yang digunakan serta memilih driver art (serangan ataupun pertahanan – berbeza mengikut blade yang digunakan). Walaupun ia nampak pasif, tetapi sangat mendalam jika pemain ingin sepenuhnya memahami sistem yang disediakan.

Saya bermain dengan tahap kesukaran ‘Easy’ tetapi sesetengah pertempuran terutama melawan bos penjahat masih lagi bermasalah walaupun sudah mempunyai tahap yang mencukupi jika anda tidak menggunakan blade yang bersesuaian ataupun gagal untuk menghasilkan serangan yang berkesan.
Ia juga mementingkan konsep serangan combo dan chain attack, iaitu jenis serangan yang akan berlaku jika pemain menggabungkan beberapa serangan dengan baik. Memahami cara untuk melakukan combo dan chain attack yang baik menjadikan sistem pertempuran sangat mendalam.
Seperti permainan ini secara amnya, sistem pertempuran juga mungkin akan membuatkan anda tidak menyukai dan merasakan ia satu permainan yang bosan, tetapi saya boleh katakan jika anda mengambil masa untuk memahami sistem yang disediakan, ia adalah menarik tambah lagi jika anda bermain dengan kesukaran yang lebih tinggi.
Saya mengambil masa lebih 60 jam untuk menghabiskan Xenoblade Chronicles 2 walaupun bermain dengan tahap kesukaran yang terendah, serta tidak menyelesaikan banyak misi sampingan. Tambahan, saya juga tidak cuba untuk mendapatkan kesemua blade yang ada.
Ia mungkin nampak satu masa yang lama, jauh lebih lama jika anda ingin sepenuhnya ingin menghabiskan permainan ini, tetapi saya merasakan ia memberi satu pulangan yang baik walaupun saya sekadar mendapat mungkin 30 hingga 40% sahaja daripada kandungan permainan ini.

Jika anda memasang hajat untuk mencuba permainan ini tetapi tidak mengetahui mengenainya, saya ingin mengesyorkan anda untuk mencuba. Kekuatan jalan cerita serta watak-watak yang menarik menjadikan pengalaman bermain satu yang akan diingati.
Kekurangan yang hadir kepada perwatakan Rex, sistem rawak yang menjengkelkan serta permulaan yang perlahan mungkin membuat permainan ini sukar untuk mengekalkan minat pemain, tetapi saya boleh katakan jika anda bersabar dan mengambil masa untuk memahami permainan ini, ia adalah kelemahan yang tidak sangat menjejas pengalaman bermain.
Xenoblade Chronicles 2 juga menerima penambahan dalam bentuk permainan berasingan iaitu Torna The Golden Country, walaupun saya masih tidak mencuba permainan tersebut tetapi berdasarkan ulasan yang dikeluarkan saya boleh katakan jika anda masih tidak yakin dengan Xenoblade Chronicles 2, Torna adalah satu permulaan yang mungkin lebih baik untuk anda bermula.