Alat kawalan JoyCon sememangnya penuh dengan pelbagai fungsi seperti fungsi pembaca Amiibo, getaran HD dan sensor IR yang mana membuatkan set alat kawalan JoyCon tersebut agak mahal berbanding alat kawalan biasa.
Meskipun begitu, ianya juga tidak lari daripada masalah yang mana baru-baru ini sering mendapat perhatian di mana alat kawalan tersebut, terutamanya di bahagian analog akan sedikit terhanyut dan bergerak secara sendiri. Masalah ini sering dipanggilkan sebagai masalah “JoyCon Drift” dan ianya memberi kesan yang sangat teruk buat pemilik Switch kerana alat kawalan tersebut akan membuat pergerakkan secara tersendiri.
Terkini, menurut laporan Vice, Nintendo kini akan membaiki masalah tersebut secara percuma, termasuklah buat mereka yang telah tamat tarikh jaminan buat konsol tersebut. Sekaligus, buat mereka yang telah pun membayar untuk membaiki alat kawalan JoyCon tersebut, Nintendo membayarnya kembali.
Sememangnya ini merupakan satu pengumuman yang menarik, terutamanya buat mereka yang mempunyai masalah dengan alat kawalan tersebut.
Namun, buat masa ini ianya tidak disahkan sama ada tawaran ini akan terkesan buat pasaran Malaysia ataupun tidak memandangkan pengeluaran konsol tersebut di sini diuruskan oleh Maxsoft. Kami pasti akan mengemaskini jika Maxsoft mengumumkannya kelak.