Minggu lepas, pengarah Stadia iaitu Andrey Doronichev mengadakan sesi soal jawab di Reddit. Seorang pengguna Reddit JoshYx telah membuat satu rumusan untuk sesi tersebut dan beberapa persoalan telah terjawab.
Status perpustakaan permainan jika perkhidmatan Stadia dihentikan
Antara perkara menarik yang dinyatakan semasa sesi tersebut adalah, apa yang berlaku jika perkhidmatan dihentikan di masa hadapan. Menjawab perkara tersebut, beliau mengatakan yang Google sangat komited untuk menjadikan projek Stadia satu yang berjaya, akan tetapi pemain dapat memuat turun metadata permainan termasuk juga fail simpanan.
Fungsi perkongsian keluarga di Stadia
Stadia juga akan mempunyai fungsi perkongsian keluarga tetapi ia tidak akan hadir November ini. Apabila ia dilancarkan kelak, ibu bapa boleh mencipta akaun kanak-kanak untuk anak-anak mereka.
Konsep permainan percuma melalui langganan Stadia Pro
Mengenai permainan percuma yang disediakan melalui langganan Stadia Pro, beliau mengatakan Stadia tidak akan berfungsi seperti mana “Netflix” sebaliknya contoh terdekat adalah Xbox Live Gold dan PlayStation Plus. Di mana mereka merancang untuk memberikan satu permainan percuma setiap bulan, dan permainan tersebut akan terus percuma selepas ditebus sehinggalah pemain menamatkan langganan.
Sokongan Mod dan Achievement
Mengenai sokongan Mod dan Achievement, beliau mengatakan ada di dalam perancangan tetapi tidak akan tiba apabila Stadia dikeluarkan secara terhad November ini.
Kerjasama dengan Steam
Apabila ditanya mengenai kerjasama bersama dengan Steam, beliau berjenaka yang akan mempunyai masalah dengan PR jika menjawab soalan ini tetapi menegaskan yang Google sentiasa mencari peluang untuk menjadikan perkhidmatan Stadia lebih baik.
Fungsi rentas platform
Bagi fungsi rentas platform, beliau mengatakan ia merupakan satu perkara yang diambil berat. Walaupun menyediakan fungsi ini bergantung kepada pembangun dan juga pengeluar platform lain akan tetapi Stadia akan menyokong sekadar boleh untuk menjadikan ia realiti.
Sokongan peranti pintar
Untuk sokongan peranti pintar, beliau mengatakan yang buat masa ini ia terhad kepada peranti Pixel 3 kerana ia merupakan peranti yang Google keluarkan dan mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam. Mereka tetap mensasarkan untuk menyokong peranti-peranti lain tidak kira Android ataupun iOS.
Harga permainan dan Stadia Connect
Bagi harga permainan di Stadia pula, beliau sekadar menjawab yang ia adalah harga yang kompetitif berbanding di platform-platform lain. Manakala Stadia Connect, beliau mengatakan akan berlangsung dalam masa terdekat ini.
Apa pendapat anda mengenai antara perkara yang dijawab melalui sesi temubual ini? Jika anda inginkan pendapat kami mengenai Stadia, anda boleh membaca artikel kami mengenai 6 kelebihan dan kekurangan Google Stadia.