Walaupun Stan Lee telah meninggal dunia, beliau akan ‘dihidupkan’ semula sebagai watak kartun dalam satu animasi khas berjudul ‘The Amazing Stan’. Stan Lee adalah seorang pelukis komik dan juga seorang yang sangat kreatif. Tanpa beliau, komik Marvel tidak akan wujud dan tanpa beliau juga filem-filem seperti Avengers, Spider-Man dan lain-lain filem Marvel pasti tidak akan terjadi.

Animasi ‘The Amazing Stan’ akan dihasilkan oleh Pure Imagination Studios dan POW! Entertainment. Animasi ini akan mengisahkan Stan Lee di zaman kanak-kanak, tetapi dengan latar masa zaman moden. Watak Stan adalah seorang kanak-kanak yang kerap berangan, atau lebih sopan seorang kanak-kanak yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Stan dan rakan-rakan akan belajar mengambil risiko, tidak akan mengalah dan juga mendalami idea baharu.
Penulis yang akan menulis animasi ini adalah Scott Peterson. Jika anda tidak kenal Scott, beliau adalah penulis yang terlibat dengan animasi Disney seperti Phineas and Ferb. Video acah hanya ditayangkan di acara SDCC, ia mungkin akan diterbit di YouTube dalam masa beberapa minggu (atau bulan) lagi. Peminat komik/filem Marvel dan juga peminat Stan Lee pasti akan menggemari animasi ini. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.