Brandon Routh adalah pelakon yang melakonkan watak Superman dalam filem Superman Returns, pada tahun 2006. Brandon kemudiannya kembali berlakon sebagai adiwira dalam siri TV DC, tetapi bukan sebagai Superman – beliau berlakon sebagai Atom. Kini di acara SDCC, menurut Deadline – panel yang bertanggungjawab menyatakan yang Brandon akan kembali berlakon sebagai Superman dalam siri TV Arrowverse.

Pelik bukan? Jika anda keliru, siri TV Arrowverse tidak aneh lagi dengan episod rentas-siri yang mana melibatkan banyak siri TV DC rentas antara satu sama lain. Siri TV Arrowverse juga pernah ‘bermain’ dengan dunia lain yang memperlihatkan orang yang sama tetapi watak berbeza. Jadi dalam salah satu episod akan datang, Brandon akan berlakon sebagai Superman bersama-sama dengan Tyler Hoechlin – iaitu pelakon Superman sebenar dalam Arrowverse.

Panel di SDCC tidak berkongsi lagi episod mana yang akan memperlihatkan Brandon sebagai Superman. Tetapi musim baharu nanti akan memfokuskan Crisis On Infinite Earth, jadi ada kemungkinan besar Brandon sebagai Atom akan bertemu Brandon sebagai Superman, bersama-sama dengan Tyler sebagai Superman. Adakah mereka akan bermusuh atau sepasukan? Itu masih menjadi tanda tanya lagi.

3 episod pertama dilaporkan akan mula siaran pada Disember dan selebihnya akan kembali disiarkan pada Januari 2020. Watak Arrow sudah pun disahkan akan mati, siapakah adiwira sulung yang akan mengetuai pasukan Arrowverse menyelamatkan dunia daripada bencana yang tidak diduga? Sama-sama kita nantikan.