Bukannya perkara baru untuk permainan retro diolah semula sebagai permua atau sebagai permainan untuk konsol generasi sekarang. Terkini, satu permainan platformer retro pada tahun 1992 telah diolah semula sebagai permua untuk Android dan iOS. Permainan ini adalah ‘Flashback‘, yang mana pada asalnya adalah permainan untuk konsol Mega Drive, Super NES, MS-DOS, Apple Macintosh dan banyak lagi.
Versi permua ini sepatutnya dijadualkan untuk dikeluarkan pada 22 Julai, tetapi hari ini ia sudah boleh dimuat turun. Sebelum versi permua, permainan ini sudah pun diolah untuk PlayStation 4 dan Nintendo Switch pada tahun lepas dengan judul Flashback: Remastered Edition. Permainan ini mempunyai grafik 2D, tetapi penuh dengan adegan yang sinematik dan unik. Ia juga bukannya permainan yang mudah untuk dimainkan dan perlu banyak kali mencuba terlebih dahulu baru berjaya.

Sudah tentu, permainan ini bukannya percuma – ia dijual di Play Store dengan harga RM20.99 dan di App Store pada harga RM19.90. Bagi yang berminat dengan permainan retro, tetapi dengan muzik yang lebih berkualiti tinggi dan warna yang lebih tajam dan cantik – anda boleh lakukannya hari ini.
[download] Flashback Mobile Untuk Android [/download][download] Flashback Mobile Untuk iOS [/download]