DC Universe Online Bakal Hadir Di Switch Pada 6 Ogos Ini

Ketika acara Comic Con yang berlangsung di San Diego, Amerika Syarikat hari ini, DC mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan permainan atas-talian percuma, DC Universe Online di konsol Switch pada 6 Ogos 2019 ini.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, DC Universe Online merupakan permainan MMO atas-talian yang memfokuskan watak-watak adiwira DC seperti Superman, Batman dan sebagainya. Dengan lebih dari 300 watak adiwira DC dengan 30 episod kandungan permainan, pemain juga berupaya untuk menghasilkan adiwira merka sendiri dan bertempur sebagai adiwira ataupun penjahat.

Ia dibangunkan oleh Daybreak Game Company dan dikeluarkan untuk PC serta PS3 pada tahun 2011. Kemudiannya ia juga dibawa ke PS4 pada tahun 2013 dan Xbox One pada tahun 2016.

Namun, menurut Daybreak Game Company, segala penyimpanan dan kemajuan pemain dari platform lain tidak boleh dibawa ke versi Switch, termasuklah fungsi rentas-platform yang mana versi Switch ini sendiri akan mempunyai pelayannya tersendiri.

Meskipun begitu, sekurang-kurangnya permainan ini dilancarkan secara percuma dan bagi anda yang meminati siri DC, pastikan anda mencubanya menjelang Ogos ini.

Sohor Kini