Pada bulan Mei lepas, DeNA dan The Pokémon Company mengumumkan permua baharu untuk iOS dan Android – Pokémon Masters. Sewaktu ia diumumkan, tidak banyak butiran yang telah dikongsikan dan bentuk permainan masih lagi keliru. Apa yang jelas adalah, pemain berpeluang untuk bertempur bersama dengan kesemua watak daripada permainan Pokemon yang lepas (mungkin termasuk juga Sword & Shield).
Terkini, saluran YouTube rasmi Pokémon telah menerbit video acah baharu yang memperlihatkan sedikit lebih jelas mengenai bentuk permainan permua ini. Permua ini adalah permua 3v3 strategi masa nyata dan pemain perlu mengumpul pelbagai pelatih Pokémon dan bukannya mengumpulkan spesis-spesis Pokémon. Selain itu, video acah baharu turut memperlihatkan bentuk permainan multi-pemain, perlawanan Pokémon Masters League, dan banyak lagi.
Permua ini hanya akan dilancarkan sekitar penghujung tahun ini. Ia akan hadir kepada platform Android dan iOS dan ia adalah percuma untuk dimainkan. Sudah tentu, tidak semua benda percuma benar-benar percuma – kerana terdapat juga barangan yang boleh dibeli secara dalam aplikasi. Bagi yang berminat, boleh nantikan permua ini yang akan hadir beberapa bulan lagi.