Bagi anda yang meminati permainan pengembaraan dengan elemen berkebun, memancing seakan Harvest Moon ataupun Stardew Valley, anda mungkin berminat dengan permainan seterusnya oleh Merge Games iaitu Stranded Sails: Explorers Of The Cursed Island.
Buat masa ini, tarikh pelancaran permainan tersebut masih belum diumumkan, namun apa yang pasti ianya bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan PC melalui Steam sekitar tahun ini.
Stranded Sails: Explorers of the Cursed Islands merupakan permainan dunia terbuka yang dibangunkan oleh Lemonbomb Entertainment. Ianya akan memfokuskan bentuk pengembaraan yang mana pemain juga berupaya untuk bercucuk tanam, memancing dan juga meneroka pelbagai lokasi yang menarik seperti lokasi kapal karam dan sebagainya.
Selain itu, permainan ini juga menyertakan bentuk pertahanan hidup yang mana pemain perlu memastikan penduduk yang terselamat lain mempunyai makanan yang mencukupi. Tambahan itu, pemain juga berupaya untuk berlayar ke pulau-pulau lain, sekaligus membuka lebih banyak bentuk pengembaraan bagi permainan tersebut.
Menurut pembangun, permainan ini diinsipirasikan daripada pelbagai siri permainan terkenal seperti Zelda dan Harvest Moon.
Sememangnya permainan ini bakal menjadi satu lagi permainan yang mempunyai elemen berkebun yang pasti akan menarik minat mereka yang meminati permainan seperti Stardew Valley dan sebagainya. Kami di Aksiz pasti akan mengemaskini tarikh pelancarannya setelah ianya diumumkan.