Seperti kita sedia maklum, Konami melalui eFootball PES 2020 telah mendapat hak eksklusif untuk menyertakan kelab Juventus di dalam permainan mereka, atas perjanjian tersebut ia memberi kesan kepada EA melalui permainan FIFA 20 mereka.
Menurut EA, perjanjian mereka bersama dengan Juventus sudah berakhir pada 30 Jun dan di dalam permainan FIFA 20 kelak, kelab tersebut akan digantikan dengan kelab dengan nama Piemonte Calcio yang akan menggunakan rekaan jenama rekaan EA sendiri.
Walau bagaimanapun, tambah EA lagi, nama pemain serta rupa mereka akan terus dikekalkan. Dengan kata lain Ronaldo akan terus ada di dalam permainan ini. Untuk mod FIFA Ultimate Team pula, walaupun menggunakan nama berbeza Piemonte Calcio akan terus menjadi sepertimana kelab Juventus.
Bagi permainan-permainan FIFA sebelum ini, seperti FIFA 19, tiada perubahan yang akan berlaku. Kami agak terkejut dengan perkara ini, permainan FIFA yang menjadi antara sumber kewangan utama untuk EA tidak dapat mengekalkan perjanjian dan tewas “bidaan” kepada Konami.
Namun, kami juga berpendapat yang walaupun EA mampu, tetapi mungkin tidak baik untuk perniagaan mereka kerana ia mungkin akan membuatkan kelab-kelab lain meminta perkara yang sama.
Bagi yang ingin tahu, Piemonte Calcio merupakan kelab yang pernah ditubuhkan di Turin, Itali iaitu rumah kepada Juventus, kelab tersebut dibubarkan kerana perang dunia pertama.