Skip to main content

Crash Team Racing boleh dikatakan salah satu permainan yang menjadi pengalaman nostalgia buat mereka yang memiliki konsol Playstation 1 pada awal tahun 2000 di mana ianya seakan satu permainan pengganti untuk siri Mario Kart di konsol Nintendo, namun buat pemilik konsol Playstation.

Ketika tahun tersebut, tidak banyak permainan kart perlumbaan yang dilancarkan di konsol Playstation 1 yang menarik dan seronok dimainkan bersama rakan-rakan mahupun seisi keluarga, bahkan pada pendapat saya salah satu permainan saingan lain untuk Crash Team Racing merupakan Chocobo Racing, yang mana juga salah satu permainan perlumbaan kart kesukaan saya sendiri.

Meskipun begitu, Beenox dan Activision kini membawa kembali permainan klasik tersebut dengan olahan semula seperti mana yang Activision lakukan buat permainan Crash Bandicoot N. Sane Trilogy sebelum ini. Crash Team Racing Nitro-Fueled dilancarkan Jun lepas di konsol Playstation 4, Xbox One dan juga Switch.

Setelah beberapa tahun saya tinggalkan permainan tersebut, untuk berlumba kembali bersama Crash, Cortex dan Coco di dalam permainan Crash Team Racing, sememangnya merupakan satu pengalaman nostalgia yang sangat menarik untuk saya. Namun, adakah permainan ini masih lagi seronok dimainkan sekarang dan adakah Beenox hanya mengolah tanpa sebarang pernambah-baikkan? Ini adalah ulasan saya.

Cerita

Dari segi penceritaan, sememangnya permainan Crash Team Racing Nitro-Fueled ini tidak langsung mengubah sebarang penceritaan asal daripada permainan Crash Team Racing sebelum ini di mana sekali lagi ianya memfokuskan watak makhluk asing Nitros Oxide cuba untuk menjajah bumi dengan perlumbaan kereta dan mencabar Crash bersama rakan-rakannya.

Ini sekaligus memerlukan pemain untuk menyelamat bumi dari dijajah oleh makhluk asing tersebut dengan berlumba dan juga memenangi keseluruhan peringkat permainan tersebut.

Secara asasnya, penceritaan permainan ini tidaklah begitu kompleks malah ianya berpadan dengan bentuk permainannya yang ringkas dengan memfokuskan bentuk perlumbaan kereta. Oleh sebab itu, sekitar pertengahan permainan ini, saya sendiri tidak menghirau langsung penceritaan permainan tersebut, memandangkan ianya agak tipikal dan ringkas.

Namun ini tidak bermakna bentuk penceritaannya tidak baik, bahkan saya berasa ianya cukup untuk menarik minat saya jika saya betul-betul mengambil masa untuk menghayati kesemua kandungannya. Akan tetapi, memandangkan saya perlu mengulas permainan dan bermain dengan pantas, saya berasa penceritaannya agak mengecewakan.

Meskipun begitu, pembangun permainan ini, iaitu Beenox juga menyertakan sebilangan kandungan baharu dari segi penceritaan termasuklah beberapa adegan tambahan yang mana pasti merupakan sentuhan “pernambah-baikkan” yang sangat bagus sekali untuk permainan ini.

Grafik & Audio

Seperti permainan Crash Bandicoot N.Sane Trilogy yang dilancarkan sebelum ini, semestinya Crash Team Racing Nitro-Fueled tidak mengecewakan dari segi visual. Bukan sahaja permainan ini menyertakan visual yang sangat menawan berbanding versi asalnya, malah keseluruhan litar yang dipernambah-baikkan dihasilkan dengan begitu menawan sekali.

Sudah semestinya, ianya berbeza jika ingin dibandingkan dengan versi Playstation 1 yang dilancarkan 20 tahun lepas. Tetapi apa yang saya boleh katakan, visual baharu yang dibawa oleh Beenox kali ini merupakan kualiti yang pasti harus dipuji.

Walaubagaimana pun, memandangkan saya bermain permainan ini di konsol Switch, saya masih lagi menghadapi beberapa kecacatan visual seperti model-model watak tidak begitu tajam dan jika dimainkan di TV, ianya agak kabur.

Tambahan itu, skrin pemuatan permainan ini juga agak lama dan boleh mencecah lebih dari 40 saat jika pemain ingin memuatkan perlumbaan dari skrin pemilihan litar ke skrin perlumbaan. Sememangnya ianya tidaklah merosakkan sebarang pengalaman permainan, namun ianya masih lagi agak perlahan jika ingin dibandingkan permainan perlumbaan lain di konsol Switch.

Dukacitanya, saya tidak berkesempatan untuk mencuba permainan ini di konsol lain, sekaligus saya sendiri tidak berupaya untuk memberi sebarang pendapat berkenaan prestasinya di konsol lain.

Dari segi audio, permainan ini sememangnya dihasilkan dengan baik sekali dicampur dengan muzik-muzik latar asal yang mana pasti membawa pengalaman nostalgia buat pemain setiap kali bermain permainan ini.

Dari segi suara latar juga, permainan ini dimainkan dengan baikkan sekali tanpa sebarang cacat cela yang merosakkan sesi permainan saya. Boleh katakan permainan ini sememangnya diberi nafas baru dengan cemerlang sekali dari segi audio.

Kawalan

Banyak perkara yang saya ingin terangkan jika bercakap berkenaan kawalan permainan Crash Team Racing Nitro-Fueled ini. Ini bukan kerana ianya adalah satu permainan yang kompleks, tetapi ianya menyertakan pelbagai bentuk kandungan yang menarik dicampur bentuk perlumbaan yang agak berlainan dengan permainan perlumbaan kart yang lain.

Jika anda pernah bermain permainan perlumbaan kart yang lain ataupun permainan asal Crash Team Racing ini sendiri, ianya tidaklah begitu kompleks untuk diterangkan. Namun, jika anda baru dengan permainan bergenre sebegini, perkara pertama yang anda perlu tahu adalah permainan ini tidak mempunyai bentuk perlumbaan kart secara tipikal seperti permainan Mario Kart.

Bahkan, pada pendapat saya, Crash Team Racing Nitro-Fueled ini merupakan satu permainan perlumbaan kart yang sangat mencabar dan kompetitf di mana ianya adalah satu permainan khas buat mereka yang ingin mencabar diri sendiri sebagai permainan veteran.

Ini kerana, permainan ini mempunyai satu sistem yang dipanggil “Power Slide” di mana ianya seolah kart berhanyut ataupun “Drift” dan melalui sistem tersebut, ianya juga akan memberi kelajuan tambahan Turbo buat pemain. Namun, untuk melaksanakannya, ianya memerlukan pemain untuk melakukannya secara tepat, sekaligus memberi sedikit cabaran terutamanya buat mereka yang tidak biasa dengan permainan ini.

Secara asasnya, permainan ini menyediakan dua butang untuk anda membuat “Power Slide” tersebut, di mana satu butang memerlukan anda untuk menekan dan ianya akan membuat kart pemain akan lompat sekali dan terus berhanyut. Kemudiannya, berdasarkan meter yang dipamerkan di bawah kiri skrin permainan, pemain juga perlu menekan satu lagi butang “Power Slide” pada waktu yang tepat untuk mendapat kelajuan Turbo tersebut.

Sememangnya sistem ini agak berlainan jika ingin dibandingkan dengan permainan perlumbaan kasual yang lain. Namun, sistem ini jugalah mengapa membuat permainan Crash Team Racing Nitro-Fueled ini sangat unik sekali dan berbeza. Bahkan, pada pendapat saya ianya adalah satu bentuk yang sangat menarik dan apa yang membuatkan saya begitu asyik dengan permainan ini.

Akan tetapi, memandangkan sistem ini juga agak sukar untuk mempelajari, ianya juga mungkin tidak sesuai untuk mereka yang ingin berlumba secara kasual. Ini juga ibarat belacan dikerat dua, yang mana ianya memberi kesan terhadap tahap pembelajaran permainan tersebut dan juga aksesibiliti buat pemain.

Dari segi aspek yang lain, seperti permainan Mario Kart, Crash Team Racing Nitro-Fueled ini juga menyediakan beberapa barangan yang pemain boleh gunakan untuk membantu pemain berlumba setiap kali pemain melanggar kotak barangan yang terdapat di litar-litar permainan. Semestinya barangan yang diperoleh adalah rawak dan pemain hanya boleh membawa satu barangan sahaja.

Antaranya seperti kotak bom, penggalak turbo dan juga misil untuk menyerang ke arah pelumba lain. Sememangnya barangan-barangan yang tersedia sememangnya membantu pemain di dalam perlumbaan permainan ini, akan tetapi ianya agak asas.

Bahkan pada pendapat saya ianya tidak begitu membantu secara keseluruhan di mana terdapat saat jika pemain berada di tempat terakhir, pemain tidak langsung mempunyai barangan yang akan membantu pemain terus ke hadapan, tidak seperti barangan Bullet Bill di dalam permainan Mario Kart, sekaligus permainan ini lebih memfokuskan bentuk kemahiran berlumba seperti yang saya katakan di atas.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk mengumpul buah-buahan Wumpa, yang mana juga akan memberi lebih kuasa dan tingkatkan barangan yang pemain gunakan sepanjang sesi perlumbaan.

Dari segi aspek yang lain Crash Team Racing Nitro-Fueled, menyediakan beberapa mod yang tersedia. Antara mod utama adalah mod pengembaraan di mana pemain diberi pilihan untuk bermain dengan tetapan Nitro-Fueled ataupun tetapan klasik. Tetapan tersebut merupakan tetapan ringkas sahaja di mana bagi anda yang lebih suka akan bentuk klasik seperti permainan asal Crash Team Racing, anda boleh memilih mod tersebut.

Kemudiannya, melalui mod utama tersebut, permainan ini akan meletakkan pemain di dalam satu kawasan hub yang luas dan pemain berupaya untuk memilih litar-litar dan perlumbaan mengikut peringkat. Ini juga membuka bentuk pengembaraan solo yang sangat menarik dan memberi peluang kepada pemain untuk melatih sebelum bertembung dengan ketua musuh pada penghujung kawasan tersebut.

Bentuk ini juga pada pendapat saya memberi satu bentuk pengembaraan solo yang sangat mendalam. Bukan sahaja ianya berasa seolah satu bentuk dunia terbuka, malah keupayaan untuk memandu kart di kawasan-kawasan yang luas tersebut membuatkan permainan ini berasa sangat meluas.

Selain itu, anda juga berupaya untuk menukar beberapa pengubah-suaian kart dan watak. Konsep ini agak ringkas sahaja di mana dari segi aspek kart, ianya hanyalah menyediakan pengubah-suaian badan kart, pelekat dan juga roda kart tersebut sahaja. Sememangnya mengubah-suaian tersebut tidak akan memberi kesan terhadap prestasi kart dan hanya mengubah dari segi aspek kosmetik sahaja.

Namun dari segi prestasi perlumbaan, ianya lebih memfokuskan terhadap penggunaan watak. Di mana setiap watak mempunyai kemahiran perlumbaan yang berbeza seperti kelajuan, pecutan dan juga kemahiran membelok.

Menariknya juga, setiap watak-watak yang tersedia juga mempunyai sebilangan kostum-kostum yang berbeza dan setiap kostum tersebut juga akan mempunyai gaya menang yang berlainan, sekaligus membuatkan pemain untuk mengumpul kesemua kostum-kostum yang tersedia menjadi lebih menarik dan berbaloi.

Kandungan Tambahan

Dari segi aspek kandungan tambahan yang saya ingin tekankan adalah mod Grand Prix baharu yang mana ianya membuatkan permainan ini berasa seakan permainan-permainan yang mempunyai pas musim ataupun Battle Pass.

Melalui bentuk tersebut, Beenox menyediakan satu bar “Nitro” khas yang mana pemain perlu melengkapkannya dengan melakukan sebilangan cabaran untuk mendapat pelbagai ganjaran. Konsep ini sememangnya seakan sama seperti Battle Pass di dalam permainan Fortnite yang mana bukan sahaja membuka lebih banyak kandungan permainan malah Beenox dan Activision juga menjanjikan pelbagai kandungan lain akan dilancarkan kelak, termasuklah barangan ganjaran bertemakan permainan Spyro.

Konsep ini juga membuatkan permainan ini berasa sangat lengkap dengan pelbagai kandungan, sekaligus membuatkan sesi ulang main permainan tersebut berasa sangat berbaloi.

Meskipun begitu, untuk menyah-kunci sebilangan kandungan-kandungan tersebut sememangnya memerlukan masa yang agak lama, bahkan saya sendiri masih belum mendapatkan segala ganjaran yang tersedia setelah hampir 20 jam saya bermain permainan tersebut.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan pelbagai litar-litar yang pelbagai yang mana bukan sahaja ianya terdiri daripada litar asal dari permainan Crash Team Racing di Playstation 1, malah litar-litar daripada permainan Crash Nitro Kart di Playstation 2. Tambahan itu, terdapat juga beberapa mod tambahan lain seperti mod pertempuran, mod masa dan juga mod pengumpulan yang mana pasti akan mengisi keseluruhan sesi permainan anda dengan baik.

Oleh sebab itu, saya sendiri sangat menghargai apa yang Beenox cuba bawakan untuk permainan Crash Team Racing Nitro-Fueled kali ini dan ianya semestinya mempunyai kandungan yang menarik sekali untuk sebuah permainan yang diolahkan semula.

Multi-Pemain

Semestinya salah satu perkara baharu yang tiba buat permainan ini adalah bentuk multi-pemain atas-talian yang mana pada pendapat saya dimainkan dengan baik sekali. Sepanjang saya mencuba sesi multi-pemain buat permainan ini, saya tidak menghadapi sebarang masalah seperti hubungan dan sebagainya. Malah sesi permainan saya dimainkan dengan baik sekali sama ada Switch berada di dermaga mahupun bermain secara mudah-alih.

Meskipun begitu, saya sendiri perlu akui di mana seperti yang cakapkan di atas berkenaan kawalan permainan ini, semestinya bermain di atas-talian agak mencabar jika dibandingkan untuk bermain secara solo. Kesemua sesi atas-talian saya langsung tidak saya menjuarai malah saya sering mendapat tempat terakhir.

Ini bukannya bermakna permainan ini sukar, namun pada pendapat saya memandangkan permainan ini mempunyai tahap pembelajaran permainan yang agak tinggi, saya berharap agak bentuk atas-talian dibahagikan kepada bentuk pembahagian peringkat antara permainan baharu dan permainan veteran. Ini bukan sahaja memudahkan pemain baharu untuk berjinak-jinak dengan mod atas-talian, malah memberi lebih keselesaan buat mereka yang ingin bermain secara kasual.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah Crash Team Racing Nitro-Fueled sememangnya satu permainan olahan yang berjaya oleh Beenox dan Activision. Meskipun begitu, ianya juga mempunyai beberapa masalah yang tidak dibaiki, terutama bentuk permainan yang agak sukar untuk pemain baharu. Ini juga membuka jurang yang sangat luas buat mereka yang ingin bermain secara kasual dan permainan ini sememangnya dibangunkan khas buat peminat Crash Team Racing.

Oleh sebab itu, bagi anda yang ingin bermain permainan perlumbaan kart secara kasual, saya lebih mengesyorkan anda untuk bermain Mario Kart 8 Deluxe berbanding dengan permainan ini.

Namun, bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang baru dan ingin mencabar diri anda ataupun bermain secara kompetitif, Crash Team Racing Nitro-Fueled sememangnya akan memenuhi citarasa anda dan saya sendiri pasti anda akan berpuas hati dengan segala kandungan-kandungan yang terdapat di dalam permainan ini.

Penafian: Kod ulasan untuk permainan Crash Team Racing Nitro-Fueled disediakan oleh Activision.

Leave a Reply