Valve hari ini mengumumkan Steam Labs, di mana ianya adalah hub eksperimen khas buat pemain untuk meneroka pelbagai permainan di Steam.

Menurut Valve, setiap tahun mereka menghasilkan pelbagai jenis eksperimen berkenaan penemuan permainan, video, pembelajaran mesin dan sebagainya. Sebelum ini, eksperimen tersebut tidak dikongsikan secara awam namun kini, Valve mengambil keputusan untuk melancarkan secara terbuka buat semua pemain di Steam.

Buat masa ini terdapat 3 eksperimen yang pemain boleh gunakan di mana eksperimen pertama adalah video acah mikro (001 Micro Trailers) yang mana ianya akan menyusun pelbagai permainan yang boleh dimainkan di Steam dengan video acah 6 saat untuk setiap satunya.

Menariknya, pengguna Steam juga berupaya untuk memilih genre-genre pilihan seperti permainan terkenal, permainan pertahan hidup ataupun sebagainyna, dan melihat video acah mikro tersebut yang dijanakan khas oleh Steam.

Eksperimen kedua pula adalah (002 Interactive Recommender) fungsi cadangan interaktif yang mana Steam sendiri akan menjanakan permainan-permainan pilihan buat pemain secara automatik berdasarkan perpustakaan pemain sendiri.

Pemain juga berupaya untuk menetapkan pelbagai penuras lain seperti permainan terkenal, permainan lama ataupun baharu dan juga permainan mengikut jenis tagar.

Eksperimen ketiga pula adalah (003 Automatic Show) persembahan automatik di mana Steam akan menyediakan satu video khas yang memperlihatkan pelbagai jenis permainan menarik setiap hari. Eksperimen ini lebih ringkas di mana ianya akan hanya memainkan video berdasarkan video-video acah permainan yang dipilih.

Sememangnya eksperimen merupakan satu bentuk yang menarik, terutamanya buat mereka yang ingin mencari permainan-permainan baharu yang ingin dimainkan di Steam. Tambahan itu, mungkin juga pada masa akan datang Valve akan menyertakan pelbagai lagi eksperimen lain. Menariknya, anda juga berupaya untuk memberi maklum balas dan memberi idea untuk eksperimen anda sendiri.

Bagi anda yang ingin mencuba eksperimen yang tersedia ini, anda boleh ke laman rasmi Steam Labs di bawah.

Layari: Steam Labs

Sohor Kini