Skip to main content

Anthem boleh dikatakan adalah mangsa kepada populariti sendiri, ia merupakan permainan seterusnya oleh pembangun yang merupakan satu nama gah di dalam industri permainan video iaitu Bioware. Ia juga merupakan satu IP baharu daripada EA.

Sebelum dikeluarkan lagi, pemain sudah mempunyai harapan yang tinggi untuk permainan ini. Akhirnya apabila dikeluarkan pada Februari lepas, walaupun ia masih satu permainan “looter shooter” yang baik akan tetapi sekadar baik sudah tidak mencukupi.

Saya mempunyai kisah tersendiri mengenai Anthem, apabila EA menyediakan kod untuk permainan tersebut saya terus mencubanya. Saya yang tidak berpengalaman mengenai permainan genre ini, walaupun pernah mencuba Warframe dan juga Destiny tetapi tidak terlalu mendalam, merasakan Anthem agak menyeronokkan.

Kualiti grafik serta binaan Javelins tampak sangat menarik, mekanik terbang pula adalah sesuatu yang membuatkan saya ingin adanya permainan Superman. Pertempuran yang disediakan juga sangat lancar, walaupun misi-misi yang disediakan tidak mencabar (pada masa itu saya masih di awal permainan ini).

Selepas beberapa hari bermain, satu kejadian aneh berlaku iaitu apabila saya cuba untuk menutup ataupun menukar aplikasi daripada Anthem ke Netflix contohnya, PlayStation 4 saya terpadam. Pada mulanya saya tidak kaitkan masalah tersebut kepada Anthem tetapi kepada PlayStation 4 sendiri, sehinggalah masalah yang sama mula diperkatakan oleh pemain-pemain lain.

Bagi mengelakkan ia memberikan masalah kepada konsol saya, kami mengambil keputusan untuk menangguh terlebih dahulu bermain Anthem sehinggalah masalah tersebut diselesaikan.

Pada 15 Mac 2019, The Division 2 dikeluarkan, pada masa itu saya merasakan perlu untuk mendapat pengalaman bermain permainan looter shooter agar dapat memberikan ulasan yang lebih baik bagi permainan yang memiliki genre yang sama, jadi saya membeli The Division 2 untuk melakukan ulasan.

Selepas saya mencuba The Division 2 saya mula menyedari kekurangan yang ada di Anthem yang saya tidak sedar sebelum ini. Apabila saya kembali bermain Anthem baru-baru ini, pengalaman bermain Anthem sangat berbeza jika ingin dibandingkan dengan permainan looter shooter oleh Ubisoft tersebut.

Terlalu banyak perkara yang mengganggu pengalaman saya bermain, seperti skrin pemuatan yang terlalu kerap, pengembaraan tidak menyeluruh kerana ia masih terlalu bergantung dengan hub permainan. Walaupun ini adalah selepas beberapa kemaskini yang dikeluarkan oleh Bioware dan EA untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Mungkin kerana ia sudah dikeluarkan untuk beberapa bulan, saya juga mula mengalami masalah untuk mencari pemain-pemain lain bagi melakukan misi bersama. Jika pada awal dahulu untuk mendapatkan 3 pemain lain, kini saya bernasib baik jika ada lebih daripada seorang. Kebanyakan misi saya hanya bermain berseorangan.

Buat masa ini Anthem bagi saya adalah satu permainan yang masih tidak siap. EA sendiri yang mengumumkan yang sebarang perancangan kandungan untuk Anthem akan ditunda dan mereka akan memfokuskan terlebih dahulu untuk mempertingkatkan kualiti permainan.

Oleh disebabkan itu, ini bukanlah satu ulasan, kerana saya merasakan tidak adil untuk mengulas sesuatu permainan yang saya tidak mengalami secara sepenuhnya. Namun, bagi penulisan ini saya ingin memfokuskan kepada mengapa Anthem masih satu projek ataupun permainan yang boleh mencapai kejayaan yang disasarkan oleh EA dan juga Bioware;

Disokong oleh EA

Pertama, EA adalah satu syarikat yang mempunyai kewangan yang kukuh, walaupun mereka mungkin tidak mencapai kejayaan kewangan seperti mana yang diharapkan melalui Anthem, namun mereka masih mempunyai pelbagai permainan lain untuk menampung.

Jika EA memberi komitmen dan sokongan yang penuh kepada Bioware ia sudah menjadi satu perkara yang baik. Bioware adalah satu syarikat pembangun yang berpengalaman, dengan adanya maklum balas daripada pemain mereka seharusnya dapat membawa Anthem ke satu tahap yang jauh lebih baik.

Anthem Adalah Permainan Yang Baik

Kedua, Anthem walaupun mempunyai pelbagai masalah seperti yang saya terangkan di atas, akan tetapi ia masih satu permainan yang baik. Ia mempunyai asas yang menarik cuma yang masih boleh digubah untuk ditingkatkan kualiti pengalaman yang disediakan.

Tambahan, masalah Anthem adalah pengalaman bermain serta kandungan yang ada, ia adalah satu masalah yang mudah untuk dikenal pasti, dan EA serta Bioware pula sudah menyedari masalah tersebut. Ia bukanlah satu permainan yang tidak berjaya tanpa disedari sebabnya.

Pemain Akan Terus Berminat Mengenai Anthem

Ketiga, Anthem mempunyai keupayaan untuk menarik minat pemain selagi mana mereka menyediakan permainan yang baik. Anthem walaupun semasa percubaan saya sekarang memperlihatkan penurunan jumlah pemain, akan tetapi saya rasakan jika kandungan baharu yang baik disertakan pemain-pemain tersebut akan kembali.

Pemain yang membeli secara fizikal, dan menjualnya ke pasaran terpakai, permainan tersebut masih ada peluang untuk dibeli oleh pemain lain. Manakala pemain yang membeli secara digital permainan tersebut akan sentiasa ada di dalam perpustakaan.

Pemain baharu pula, mungkin sukar untuk mendapat jualan yang tinggi akan tetapi EA memiliki pelbagai cara untuk mendapatkannya. Antaranya adalah melalui EA Access, pelanggan-pelanggan perkhidmatan tersebut walaupun tidak berniat untuk membeli Anthem masih mempunyai pilihan untuk bermain secara percuma.

Dengan kata lain, Anthem tidak mempunyai masalah untuk mencari pemain, tidak kira pemain tersedia ataupun pemain baharu, EA dan Bioware juga mungkin menawarkan permainan tersebut dengan lebih murah ataupun secara percuma.

Bukan Sesuatu Yang Luar Biasa

Keempat, ia bukan sesuatu yang luar biasa permainan yang tidak bermula dengan baik, akhirnya menjadi satu permainan yang sangat berjaya. Contoh terbaik adalah Final Fantasy XIV menerima penerimaan yang negatif pada awal pengeluaran sebelum ia diterbitkan semula sebagai A Realm Reborn yang kini menjadi antara permainan MMORPG utama.

No Man’s Sky juga menerima penerimaan yang tidak baik tetapi terus mendapat penambah-baikkan yang disukai oleh pemain tersedia dan juga pemain baharu. Bahkan penerbit permainan tersebut iaitu Sean Murray sendiri mengatakan adalah lebih baik berdiam diri dan terus memperbaiki permainan yang menerima penerimaan negatif. Sesuatu yang mungkin boleh diambil oleh Bioware mahupun EA.

Mahupun begitu, berdiam diri secara terus mungkin menjadi tidak adil kepada pemain yang sudah membeli permainan tersebut bahkan yang masih lagi bermain sehingga sekarang. Komunikasi harus dilakukan walaupun tidak terlalu kerap dan ia seharusnya mengenai perubahan yang dilakukan dan bukan sekadar perancangan sahaja.


Saya bukanlah pemain yang sudah meluangkan masa yang lama untuk bermain Anthem tetapi saya juga inginkan permainan ini terus dikembangkan kerana ia mempunyai potensi yang besar bahkan ia dibangunkan oleh Bioware yang merupakan pembangun kegemaran saya.

Namun, sama ada Anthem terus berkubur ataupun dihidupkan semula bergantung kepada komitmen oleh Bioware dan juga EA untuk terus menyokong permainan ini yang mungkin akan terus menjadi kos berbanding membawa keuntungan.

EA dan Bioware sebelum ini sudah mengatakan yang Anthem masih merupakan satu projek yang penting untuk mereka dan akan terus memberi komitmen untuknya. Oleh disebabkan itu saya masih mempunyai harapan untuk permainan ini dan ia akan kekal terpasang di PlayStation saya.

Leave a Reply