Skip to main content

Berita mengenai konsol permainan baru yang berdasarkan Nintendo Switch sudahpun banyak diperkatakan. Pada hari ini, Nintendo telah mengumumkan secara rasminya bahawa mereka akan melancarkan konsol terbaru tersebut, yang dinamakan Nintendo Switch Lite tidak lama lagi.

Nintendo Switch Lite masih mempunyai rekaan yang hampir sama dengan peranti Nintendo Switch sebelum ini, tetapi hadir dengan beberapa perubahan yang agak ketara. Pertamanya ialah ia akan hadir dengan paparan bersaiz 5.5 inci berbanding dengan paparan 6.2 pada inci peranti asal. Walaupun begitu, ia masih hadir dengan resolusi 720p, jadi pengguna tidak perlu risau mengenai perbezaan dari segi resolusi pada konsol baru ini.

Spesifikasi dalaman Nintendo Switch Lite ini tidak disahkan, tetapi menurut Nintendo, kemaskini pada beberapa komponen memberikannya jangka hayat bateri yang sedikit lebih panjang berbanding dengan konsol Nintendo Switch asal.

Salah satu daripada ciri utama konsol Nintendo Switch ialah dermaga yang hadir dengan kebolehan untuk mengecas peranti tersebut, dan membolehkannya disambungkan kepada sebuah televisyen. Nampaknya ciri ini tidak akan hadir melalui Nintendo Switch Lite, dan ini akan menjadikannya sebuah peranti yang khusus dibina sebagai sebuah konsol mudah alih.

Satu lagi perubahan yang dapat dilihat pada peranti ini ialah pengawal Joycon yang sebelum ini boleh dipisahkan daripada bahagian paparan kini disambungkan terus kepada Nintendo Switch Lite tanpa kebolehan dipisahkan. Walaupun begitu, Switch Lite masih boleh disambungkan kepada pengawal JoyCon yang asing, dan ini boleh digunakan untuk menggerakkan permainan-permainan seperti 1-2 Switch dan Pokemon Let’s Go!.

Menurut laman web Nintendo UK, mereka akan memaparkan jika sesebuah permainan boleh disokong oleh Nintendo Switch Lite ataupun tidak. Akan tetapi, permainan-permainan yang tidak disokong ini mungkin perlu menggunakan ciri-ciri seperti infrared dan sebagainya.

Menurut Yoshioki Koizumi, Penerbit Besar Nintendo Switch, konsol Nintendo Switch Lite ini akan tiba di pasaran global pada 20 September 2019 pada harga $199 (~RM825). Dari segi pilihan warna, ia akan tiba dengan warna Yellow, Grey dan Turquoise.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=8&v=jZOPC6J4fAA

Leave a Reply