Sejak pelancaran No Man’s Sky beberapa tahun lepas, permainan tersebut sememangnya mempunyai pelbagai kemaskini yang menarik di mana pembangun permainan tersebut, iaitu Hello Games tidak berhenti menawarkan pelbagai kemaskini baharu sehinggalah peminat membeli satu papan iklan khas untuk berterima kasih terhadap mereka.

Meskipun begitu, ketika awal pelancaran No Man’s Sky, permainan tersebut dikritik dengan begitu teruk sekali akibat kandungan awal pelancarannya tidak seperti yang dijanjikan oleh pembangun, sekaligus membuatkan ramai peminat kecewa akan tindakan Hello Games kerana mereka bertindak untuk berdiam diri beberapa bulan sejak ianya dilancarkan.

Terkini, melalui laporan Gamesradar, Sean Murray iaitu pengasas Hello Games berkongsi sebilangan kenyataan berkenaan masalah pelancaran No Man’s Sky tersebut dan kenapa mereka berbuat demikian.

Menurut beliau, ketika pelancaran No Man’s Sky 2016 lepas beliau sering menulis draf di blog rasmi Hello Games untuk menerangkan berkenaan pembangunan permainan tersebut termasuklah kandungan pasca-pelancaran yang bakal tiba masa akan datang. Namun ianya agak sukar bagi mereka untuk menulis satu kenyataan yang sempurna sehingga membuatkan mereka berdiam diri selama 3 bulan dengan komuniti pemain dan sekitar 2 tahun terhadap akhbar media.

Tambah beliau, tindakan tersebut juga adalah disebabkan mereka berasa mereka perlu buktikan dahulu dengan kandungan tersebut dan tidak ingin melakukan sebarang janji kosong terhadap pemain. Ini sekaligus kenapa mereka mengambil keputusan untuk berdiam diri dan terus fokus untuk membangunkan kandungan pasca-pelancaran buat permainan tersebut.

Sean Murray juga menyatakan bahawa permainan lain yang mana juga menerima nasib yang sama seperti Anthem, Fallout 76 dan Sea Of Thieves juga perlu mempelajari daripada situasi ini dengan membuktikan dahulu terhadap pemain berbanding membuat sebarang janji kosong. Tambah beliau, tindakan untuk menenangkan pemain tidak semestinya akan berjaya malah ianya mungkin juga akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.

Sememangnya kenyataan Sean Murray ada betulnya, memandangkan mereka semestinya berpengalaman di dalam isu tersebut. Akan tetapi, hubungan dan komunikasi antara pemain juga adalah penting dan pada masa yang sama, pembangun sendiri perlu buktikan bahawa mereka melancarkan sesuatu produk yang berbaloi dengan harga yang dibeli oleh pemain.

Apa yang pasti, No Man’s Sky kini sememangnya adalah salah satu permainan yang berjaya dengan pelbagai kandungan dan kejayaan tersebut haruslah dipuji terhadap Hello Games. Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan kandungan akan datang buat permainan tersebut, Hello Games ini mengumumkan kandungan Beyond dan realiti-maya bakal tiba buat permainan tersebut.

Sohor Kini