Skip to main content

Microsoft di E3 lepas telah mengumumkan yang konsol generasi baharu mereka akan dikeluarkan pada akhir tahun 2020. Walaupun tiada pengumuman rasmi daripada Sony, namun, kami menjangkakan konsol generasi baharu PlayStation juga akan dikeluarkan pada masa yang lebih kurang sama.

Dengan kata lain, generasi konsol ke-9 akan bermula pada akhir tahun 2020. Bermulanya generasi baharu tersebut tidak bermakna yang PlayStation 4 akan terus dihentikan. PlayStation 3 terus menerima permainan walaupun PlayStation 4 sudah dikeluarkan lebih 2 tahun.

Perkara yang sama akan berlaku untuk PlayStation 4, bahkan saya berpendapat konsol tersebut akan terus menjadi satu konsol yang penting untuk Sony dan berikut adalah ‘mengapa’;

Pertama, selain mengumumkan yang PS baharu bakal memiliki spesifikasi yang tinggi, Sony juga mengatakan yang konsol tersebut akan menyokong permainan PS4 kerana menggunakan rekaan arkitek yang sama. Permainan fizikal yang dikeluarkan untuk PS4 berkemungkinan besar boleh juga dibaca di PS baharu tersebut.

Ini bermaksud yang sebarang permainan yang dikeluarkan untuk PS4, turut boleh dimainkan di dalam PS baharu kelak, ini akan lebih menggalakkan pembangun untuk terus mengeluarkan permainan di konsol tersebut.

Bahkan, saya tidak terkejut jika Sony akan menjadikan PS4 Pro sebagai konsol sampingan, sepertimana PS4 dan PS4 Pro dipasarkan bersama. Jika sekarang pemain mempunyai pilihan di antara PS4 dan PS4 Pro, apabila konsol baharu keluar kelak ia akan memberi pilihan kepada pemain untuk mendapatkan PS4 Pro ataupun konsol baharu tersebut.

Permainan sekarang yang dikeluarkan mempunyai platform khusus, contohnya untuk PS4, tetapi agak menarik jika apabila keluarnya konsol baharu kelak, permainan-permainan yang dikeluarkan hanya dikatakan untuk platform PlayStation kerana ia menyokong PS4 dan PS baharu. Mungkin, Sony akan menggelarkan PS baharu kelak, sebagai PlayStation sahaja tanpa nombor.

Kedua, sebagai satu konsol generasi baharu, PS baharu akan mempunyai spesifikasi yang tinggi, antaranya adalah akan menyokong resolusi sehingga 8K dan akan menggunakan SSD yang akan menjadikan kadar pemuatan lebih pantas.

Ia adalah sesuatu yang perlu untuk memastikan konsol tersebut terus relevan sebagai konsol generasi baharu, namun persoalan sekarang adalah mengenai harga konsol tersebut. Tarikan utama konsol adalah harganya yang murah kerana pengeluar konsol menjual konsol tanpa sebarang keuntungan.

Harga rasmi semasa PS4 pertama kali dikeluarkan adalah RM 1799, untuk PS baharu kelak, ura-ura mengatakan ia akan bermula dengan harga $499 iaitu lebih kurang RM2066 yang membuatkan saya menjangkakan harga rasmi adalah RM2199 di Malaysia.

Bagi saya, termasuk juga kebanyakan pemain di Malaysia, ia merupakan satu tanda harga yang tinggi. Oleh kerana itu, mungkin tidak ramai pemain akan terus beralih ke PS baharu, tambahan lagi kerana sebab pertama yang saya nyatakan di atas.

Kurangnya peralihan ini akan terus menjadikan PS4 sebagai satu konsol yang utama untuk 2-3 tahun lagi, mungkin lebih lagi jika apa yang saya jangkakan di atas adalah benar.

Ketiga, ia berkait dengan sebab kedua, di mana perniagaan utama Sony sebagai pengeluar konsol bukanlah jualan konsol itu sendiri tetapi penjualan perisian. Bukan sahaja untuk permainan-permainan keluaran mereka tetapi juga permainan yang dikeluarkan oleh pembangun lain.

Bahkan untuk Sony sendiri, 43% pendapatan mereka adalah daripada industri permainan video jauh meninggalkan industri lain seperti semikonduktor, muzik dan filem.

PS4 seperti saya katakan sebelum ini akan terus kekal menjadi konsol dengan penggunaan teramai untuk beberapa tahun lagi, tambahan lagi jumlah pengguna PS4 jauh lebih tinggi berbanding konsol-konsol lain di pasaran. Dengan kata lain, ia adalah satu konsol yang penting untuk Sony.

Jika digabungkan sebab pertama iaitu PS baharu mungkin akan menyokong permainan PS4 secara terus, serta kadar peralihan pemain ke konsol baharu yang mungkin perlahan kerana harga yang mahal, Sony tidak akan terus mengurangkan keuntungan yang mereka boleh peroleh daripada penjualan permainan di PS4.

Ini menjadikan PS4 kekal sebagai satu konsol yang sangat penting untuk Sony, mungkin ia akan menjadi penyokong kepada PS baharu kelak. Saya lebih yakin mengenai perkara ini apabila Sony sendiri mengatakan yang PS baharu dihasilkan khusus untuk pemain yang tegar dengan kata lain mereka tidak menyasarkan konsol tersebut dengan lebih meluas.


Akhir kata, disebabkan ketiga-tiga sebab yang saya nyatakan di atas, PS4 akan terus menjadi konsol yang penting, lebih penting daripada PS3 semasa PS4 dikeluarkan dahulu. Jika anda memiliki PS4 dan apabila PS baharu dikeluarkan nanti, ia akan kekal menjadi konsol utama anda.

Bagi persoalan sama ada PS4 masih berbaloi untuk anda belikan sekarang, saya ada menulisnya pada tahun lepas dan mengatakan PS4 masih berbaloi, untuk sekarang pula saya boleh katakan ia masih berbaloi, terdapat banyak lagi permainan yang akan dikeluarkan untuk konsol tersebut terutama pada tahun hadapan.

Tambahan lagi, Sony banyak menawarkan konsol tersebut dengan lebih murah, akan tetapi saya rasakan hanya PS4 Pro yang berbaloi. PS4 sudah kurang walaupun ia dijual dengan harga yang murah.

Namun, mungkin anda ingin nantikan pengumuman rasmi Sony mengenai PS baharu kelak, yang mungkin pada akhir tahun ini. Berdasarkan pengumuman tersebut, kita mungkin dapat lihat kedudukan PS4 dan boleh menilai sendiri sama ada ia masih berbaloi untuk dimiliki.

Itu adalah pendapat saya mengenai kedudukan PS4 selepas PS baharu dikeluarkan nanti, bagaimana dengan anda? Adakah anda akan menjadi pengguna pertama untuk konsol baharu nanti ataupun mengambil posisi tunggu dan lihat?

Leave a Reply