Tidak boleh dinafikan bahawa peranti pintar kini sudahpun menjadi sangat popular sebagai sebuah peranti yang digunakan untuk memainkan permainan. Terdapat juga beberapa syarikat yang kini membuat aksesori pengawal permainan untuk peranti-peranti tersebut.

Microsoft baru-baru ini telah memperlihatkan pengawal Xbox prototaip dimana mereka telah membina prototaip pengawal Xbox dua dalam satu untuk gaming tradisional dan juga untuk menggerakkan permainan pada peranti pintar.
Pengawal ini dilihat lebih kecil berbanding dengan pengawal Xbox biasa, tetapi boleh diasingkan kepada tiga bahagian, yang terdiri daripada dua bahagian pengawal dan satu dok bateri. Kedua-dua bahagian pengawal ini kemudiannya boleh disambungkan kepada peranti pintar, dan untuk mengecasnya, ia boleh disambungkan kembali ke bahagian dok tersebut.

Projek pengawal untuk peranti mudah alih ini bukanlah sesuatu yang baru untuk Microsoft, tetapi oleh kerana kejayaan yang dilihat oleh Nintendo melalui pengawal Joycon mereka, jurutera di Microsoft telah menghidupkan semula projek ini.
Pada mulanya, ia direka dengan bahan gabus, manakala peranti prototaip ini dihasilkan dengan menggunakan pencetak 3D. Buat masa ini, tiada pengumuman kukuh jika peranti ini akan menjadi sebuah produk yang akan dijual oleh Microsoft, tetapi jika dilihat pada betapa popularnya pengawal Xbox oleh Microsoft, terdapat kemungkinan ia akan menjadi realiti.