Kemaskini: Video acah pertama diperlihatkan dengan bentuk permainan seperti berkebun, menjaga haiwan ternakan bersama watak-watak daripada permainan asal.
Harvest Moon: Back To Nature merupakan salah satu permainan Harvest Moon yang sangat terkenal di konsol Playstation 1 beberapa tahun lepas. Permainan tersebut kemudiannya diolahkan semula di konsol Game Boy Advance, di mana ianya dilancarkan sebagai permainan Harvest Moon: Friends Of Mineral Town.
Kini tampaknya, Marvelous, iaitu pembangun asal buat permainan tersebut akan melancarkan satu lagi edisi olahan semula buat permainan tersebut, iaitu Story Of Season: Reunion In Mineral Town, di mana ianya bakal tiba di konsol Switch.

Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan nama permainan Story Of Season, ianya merupakan siri permainan simulasi berkebun yang dibangunkan oleh Marvelous, yang mana juga adalah pembangun asal untuk siri Harvest Moon. Namun, nama Harvest Moon dimiliki oleh Natsume, sekaligus untuk pasaran global, Marvelous perlu menggunakan nama Story Of Season.

Buat masa ini, Story Of Season: Reunion In Mineral Town dijadualkan untuk dilancarkan pada 17 Oktober 2019 ini buat pasaran Jepun. Dari pasaran global. Marvelous masih belum berkongsikannya lagi. Kami akan mengemaskininya jika terdapat sebarang informasi lanjut.