Skip to main content

Tahun ini, banyak perkhidmatan penstriman permainan video diumumkan. Antaranya Orion daripada Bethesda, Project xCloud daripada Microsoft, Google Stadia dan banyak lagi. Baru-baru ini di MWC Shanghai 2019 yang berlangsung minggu lepas, terdapat beberapa lagi perkhidmatan penstriman permainan video yang diumumkan.

Apa yang menarik dengan perkhidmatan penstriman permainan video yang diumumkan di MWC Shanghai ini adalah, ia menggunakan teknologi 5G dan memerlukan teknologi ini untuk berfungsi. Tidak seperti Google Stadia atau lain-lain yang memerlukan sambungan Internet rumah (gentian optik) sekurang-kurangnya 25Mbps untuk berfungsi dengan baik, perkhidmatan ini boleh berfungsi dengan Internet mudah alih dari peranti pintar.

Oppo

Tidak ada nama rasmi lagi buat perkhidmatan penstriman permainan video daripada Oppo. Mereka hanya menggelarnya sebagai Oppo 5G Cloud Gaming. Bagi yang mengikuti perkembangan teknologi, Oppo bukan nama yang tidak dikenali – mereka terkenal dengan telefon-telefon pintar kelas pertengahan yang lebih memfokuskan kamera swafoto.

Sasaran Oppo dengan 5G Cloud Gaming mereka adalah dengan kemampuan menstrim permainan video pada resolusi FHD+ dengan 60FPS. Kemudian latensi yang mereka sasarkan adalah bawah 30ms dengan kelajuan Internet sekitar 20Mbps. Seperti perkhidmatan permainan lain, permainan video ini akan distrim dari pelayan Oppo dan terus dimainkan pada peranti 5G Oppo. Ia turut boleh dilontarkan kepada paparan kedua atau televisyen.

Atas percubaan saya, perkhidmatan Oppo ini mempunyai latensi yang sangat teruk. Tekan butang pada alat kawalan dan hanya selepas beberapa saat baru ia mula berfungsi dalam permainan video. Permainan video yang saya uji adalah Need For Speed Rivals. Agak mengecewakan, kerana kelajuan Internet 5G Oppo dilihat mencapai sehingga 2Gbps dan prestasi permainan video mereka sangat menghampakan. Oppo tidak kongsikan bilakah perkhidmatan ini akan dilancarkan kepada umum, tetapi saya jangkakan sekitar 1-2 tahun lagi – selepas banyak peranti 5G dan perkhidmatan 5G berada di pasaran.

ZTE

ZTE turut mengumumkan perkhidmatan penstriman permainan video mereka yang tersendiri. Tetapi mereka tidak kongsikan dengan lebih jelas mengenainya. Seperti mana-mana perkhidmatan lain, permainan adalah daripada pelayan dan distrim ke peranti 5G ZTE. Cara kawalan pula adalah alat kawalan yang ditambat secara terus kepada peranti dan bukannya seperti Stadia, yang mana alat kawalan ditambat pada pelayan Google.

Permaian yang ZTE tunjukkan adalah permainan Naruto. Sama seperti Oppo, terdapat latensi yang serius pada alat kawalan dan sukar untuk bermain dengannya. Walau bagaimanapun secara keseluruhan, prestasinya adalah lebih baik daripada Oppo. ZTE langsung tidak ceritakan bilakah mereka akan umumkan perkhidmatan mereka secara rasmi, tetapi jelas sekali dengan prestasi yang hampa ini – ia mungkin akan mengambil masa lebih dari setahun lagi.

Vivo

Sama juga seperti yang lain, tiada nama rasmi. Tetapi apa yang menarik adalah, Vivo mempunyai gedung permainan tersendiri – LightPlay. Terdapat beberapa pilihan permainan yang boleh dipilih, seperti FIFA 2018, Need For Speed Rivals, NBA 2K17 dan banyak lagi.

Vivo mengatakan yang perkhidmatan mereka ini boleh dimainkan dengan langganan bulanan dan hanya terhad kepada peranti 5G mereka. Alat kawalan pula adalah mana-mana alat kawalan permainan video yang menyokong sambungan Bluetooth yang menerima pengiktirafan Vivo sahaja. Kelajuan Internet 5G Vivo adalah daripada 400Mbps sehingga 900Mbps, yang mana lebih perlahan daripada Oppo.

Akan tetapi, prestasinya adalah lebih baik dan tidak begitu mengecewakan. Saya mencuba Need For Speed Rivals dan kawalan boleh dikatakan lancar dan latensinya agak rendah. Terdapat sela masa, tetapi tidak begitu jelas. Walau bagaimanapun, permainan FIFA 2018 menurut rakan sekerja saya – mempunyai latensi yang sangat teruk dan sukar untuk menjaringkan gol.


Jelas di sini, teknologi penstriman permainan video berasaskan 5G masih awal dan belum bersedia untuk ke pasaran lagi. Selagi mereka tidak dapat selesaikan isu latensi yang teruk, ia tidak sesuai untuk dilancarkan kepada umum. Kemudian, peranti 5G juga masih terhad lagi dan masih tidak banyak syarikat telekomunikasi menawarkan pelan data 5G.

Walau bagaimanapun, agak menarik untuk melihat kelak telefon pintar tidak lagi terhad untuk bermain permua sahaja. Ia kelak boleh bermain permainan yang sama dengan sebuah PC atau konsol lain. Teknologi 5G dilihat mempunyai masa depan yang cerah untuk dunia permainan video, cuma sekarang belum masanya lagi.

Leave a Reply