Tetris Royale Diumumkan – Permua Berdasarkan Tetris 99

Awal tahun ini, Nintendo mengumumkan permainan Tetris 99, iaitu permainan Tetris yang memfokuskan bentuk multi-pemain sebanyak 100 pemain serentak dengan kombinasi bentuk pertempuran royale.

Terkini, The Tetris Company dan N3TWORK mengumumkan kerjasama terkini mereka di mana mereka akan membawa permua Tetris Royale, juga mempunyai konsep permainan yang sama ke peranti mudah-alih iaitu iOS dan Android.

Menurut kenyataan N3TWORK, permainan Tetris Royale akan menyertakan bentuk multi-pemain yang mana pemain perlu melengkapkan Tetris dan bertempur dengan 99 pemain lain secara atas-talian. Menariknya juga, mereka juga menyatakan akan terdapat pelbagai mod tambahan lain yang bakal disertakan dengan mod bermain secara solo.

Sememangnya bentuk permainan yang diterangkan adalah seakan permainan Tetris 99 yang dilancarkan sebelum ini. Namun, Tetris 99 dibangunkan oleh ARIKA dan dilancarkan oleh Nintendo khas di konsol Switch. Ini sekaligus meletakkan Tetris Royale adalah permainan baharu yang dibangunkan khas di peranti telefon pintar.

Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada perjanjian dua syarikat tersebut di mana pada masa akan datang, mereka mungkin akan melancarkan pelbagai lagi permainan lain berdasarkan konsep permainan Tetris.

Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi mahupun bentuk permainannya masih belum diumumkan. Namun ianya dirancang untuk dilancarkan secara bentuk cubaan beta sekitar tahun ini.

Sohor Kini