Sebelum ini, kami melaporkan yang mana Area 35 akan melancarkan permainan Tiny Metal: Full Metal Rumble di konsol Switch dan PC menjelang tahun ini. Terkini, mereka akhirnya mengumumkan tarikh pelancarannya di mana ianya bakal tiba pada 11 Julai 2019 ini buat kedua-dua platform tersebut.
Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Tiny Metal: Full Metal Rumble merupakan sekuel kepada Tiny Metal yang dilancarkan 2017 lepas dimana sempena dengannya, mereka akan menyertakan pelbagai kandungan baharu dengan mod multi-pemain secara bersama. Selain itu, pembangun juga menjanjikan pelbagai bentuk naratif baharu bersama unit-unit baharu yang pemain boleh gunakan dengan mod kempen sehingga 39 misi.
Menariknya, bersempena dengan pengumuman ini mereka juga akan menyediakan demo percuma khas buat pemain di Switch menjelang 8 Julai 2019 kelak di mana pemain berupaya untuk mencuba 5 misi permainan secara percuma.
Bagi anda yang meminati permainan strategi secara turutan, jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan permainan Tiny Metall: Full Metal Rumble menjelang Julai ini.