Besempena acara Tales Of Festival yang berlangsung di Jepun minggu ini, Bandai Namco mempertontonkan video acah baharu buat permainan Tales Of Arise yang diumumkan ketika acara E3 2019 minggu lepas.
Melalui video acah tersebut, mereka memperlihatkan dua watak utama yang bakal tiba buat permainan tersebut iaitu Alphen dan Shionne.

Menurut Bandai Namco, Alphen adalah lelaki dari planet Dahna di mana beliau tidak mempunyai sebarang ingatan dan tidak merasai kesakitan. Manakala Shionne pula merupakan gadis dari planet Rena yang disumpah dengan sumpahan ‘Thorns’ di mana ianya akan memberi kesakitan buat sesiapa yang menyentuhnya. Sekaligus, kedua-dua mereka perlu bekerjasama untuk melakukan misi mereka tersendiri dan juga berjuang demi kebebasan planet Dahna.
Tales Of Arise dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun 2020 ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.