Informasi Permainan Video Terkini
Pengalaman Bermain Permua Di Peranti iOS – Satu Peranti Permainan Yang Pelbagai

Pengalaman Bermain Permua Di Peranti iOS – Satu Peranti Permainan Yang Pelbagai

Diterbitkan pada July 11, 2019 oleh .

Peranti iOS seperti iPhone dan iPad sememangnya sering dipasarkan sebagai satu peranti yang mempunyai kebolehan yang pelbagai dari segi spesifikasi, kamera dan juga kandungan sistem operasi iOS yang terbaik.

Meskipun begitu, mungkin ramai tidak beranggapan bahawa peranti tersebut merupakan satu peranti permainan mudah-alih yang baik di mana ianya bukan hanya sekadar mempunyai pelbagai permainan yang ditawarkan melalui App Store, malah pelbagai kemudahan akses permainan yang memudahkan pemain.

Tambahan itu, sokongan Apple untuk peranti iOS sebagai satu peranti permainan sememangnya bakal menjadi lebih menarik dengan pengumumkan Apple Arcade awal tahun ini. Akan tetapi, hari ini kami tidak ingin memfokuskan servis langganan tersebut, namun kami lebih memfokuskan kenapa peranti iOS merupakan satu peranti permainan yang bagus.

Di sini, kami akan memfokuskan dua peranti iOS iaitu iPad Pro (2017) dan juga iPhone XR yang mana ianya adalah salah satu peranti terkini oleh Apple yang dilancarkan beberapa bulan lepas. Kedua-dua peranti tersebut sememangnya mempunyai spesifikasi yang baik dengan cip pemprosesan A12 Bionic dan A10X Fusion untuk iPad Pro.

Meskipun begitu, pada pendapat kami, kedua-dua peranti tersebut sememangnya satu peranti yang sangat pelbagai. Bukan sahaja dari segi prestasinya yang sangat memberangsangkan, malah setiap fungsi-fungsi yang lain seperti kamera, pembesar suara dan sebagainya merupakan satu peranti yang berkualiti tinggi oleh Apple. Ini sekaligus, membuatkan peranti ini bukan sahaja berbaloi untuk digunakan sebagai peranti permainan, malah satu peranti untuk kegunaan harian.

Saya sendiri mempunyai sebilangan peranti-peranti Android yang lain untuk kegunaan kerja dan sebagainya. Namun, sebagai seorang pengguna iOS, saya sendiri perlu akui dengan menggunakan kedua-dua peranti iOS ini, ianya adalah cukup untuk kegunaan harian saya, termasuklah kegunaan untuk bermain sebarang permainan mudah-alih.

Kedai Atas-Talian App Store Yang Menyenangkan Pengguna

Semestinya untuk memuat-turun permainan-permainan di peranti tersebut memerlukan anda untuk mengakses App Store di mana pada pendapat saya ianya adalah kedai atas-talian yang sangat mudah dilayari. Bukan sahaja kandungan laman App Store memudahkan pengguna untuk mencari aplikasi ataupun permainan yang menarik, malah terdapat juga bahagian-bahagian yang ditulis dan dipilih khas oleh kurator dari Apple.

Ini bukan sahaja memudahkan pengguna untuk mencari permainan ataupun aplikasi pilihan, malah ianya juga memberi satu pengesahan dan kredibiliti yang bagus terutamanya buat anda yang pening dengan pilihan yang pelbagai di dalam App Store.

Bukan setakat itu sahaja, melalui laman App Store utama, terdapat juga beberapa artikel yang dikongsikan oleh Apple yang menerangkan bukan sahaja informasi berkenaan sesuatu permainan tersebut, malah terdapat juga beberapa tip dan promosi permainan yang mana pasti akan membantu pengguna untuk membuat pilihan.

Selain itu, anda juga berupaya untuk ke bahagian permainan terus yang mana Apple menyediakan lebih banyak pilihan permainan buat anda, dari segi permainan yang paling banyak dimuat-turun sehinggalah permainan yang paling banyak dibeli oleh pengguna. Fungsi ini amat berguna buat anda yang ingin mencari sebarang permainan yang sohor kini, terutamanya permainan yang mempunyai elemen multi-pemain.

Permua Yang Menarik Dan Pelbagai

Untuk menyenarai kesemua permainan yang menarik di peranti iOS sememangnya mustahil, memandangkan di platform ini terdapat beribu permainan-permainan yang dibangunkan dengan baik sekali bukan sahaja dalam bentuk multi-pemain, malah bentuk permainan secara solo. Bukan setakat itu sahaja, terdapat juga beberapa permainan yang dibangunkan secara eksklusif di iOS, sekaligus membuatkan peranti ini satu peranti permainan yang sangat berbaloi untuk dimiliki.

Meski pun begitu, saya ingin berkongsikan sebilangan permainan-permainan yang menarik dan antara permainan kesukaan saya ketika saya bermain di peranti iOS ini.

Permainan pertama yang saya ingin kongsikan adalah Florence, di mana ianya adalah permainan mudah-alih khas yang dibangunkan oleh pembangun permua Monument Valley iaitu Mountains. Menariknya, permua ini memfokuskan bentuk permainan yang agak ringkas dan pada masa yang sama sangat unik.

Florence meletakkan pemain untuk bermain sebagai Florence Yeoh, dan pemain perlu menjalani kehidupan beliau dari segi percintaan, hubungan bersama keluarga dan sebagainya. Sememangnya permainan ini agak ringkas dan boleh dihabiskan kurang dari 4 jam, namun ianya masih lagi satu bentuk permainan yang sangat menarik, di campur visual yang sangat menawan dan audio muzik yang pasti akan menggamit hati pemain.

Permainan seterusnya yang saya ingin kongsikan semestinya permainan-permainan yang lebih ringkas seperti permainan Asphalt 9: Legends iaitu permainan perlumbaan dengan visual yang sangat menawan sekali. Dengan bermainnya di peranti iPhone XR, permainan ini sememangnya diterjemahkan dengan baik sekali dan bukan sekadar visual, malah kesan efek dan kawalan bersama skrin sesentuh iPhone tersebut dimainkan dengan lancar sekali.

Namun bagi anda yang lebih berminat dengan permainan bergenre tembak menembak, saya sendiri mengesyorkan anda untuk mencuba PUBG Mobile dan Fortnite di peranti iOS. Ketika saya bermainnya di peranti iPhone XR dan iPad Pro, kedua-duanya dimainkan dengan bagus. Dari segi prestasi, visual dan kawalan, kesemuanya seperti saya bermain di konsol dan untuk mendapat hasil kualiti bertaraf konsol di satu peranti yang boleh dimuatkan di poket anda, semestinya satu teknologi yang harus dipuji.

Pengalaman Sesi Permainan Yang Memuaskan

Meskipun begitu, mungkin ramai yang mempertikaikan bermain permainan dengan menggunakan skrin sesentuh agak sukar dan tidak menarik. Namun, saya tidak beranggapan demikian kerana sebagai seorang penggemar permainan di konsol dan PC, saya sendiri tidak menghadapi masalah untuk bermain dengan menggunakan skrin sesentuh.

Saya perlu akui, pengalaman bermain dengan menggunakan skrin sesentuh terutamanya permainan penembak, tidak sama dengan menggunakan alat kawalan ataupun papan kekunci dan tetikus. Meskipun begitu, untuk bermain permainan tersebut secara mudah-alih dan di mana-mana sahaja, ianya masith lagi memberi pengalaman permainan yang sangat menyeronokkan buat saya.

Ya betul, selalunya sesi permainan mudah-alih tidaklah bertahan berjam-jam dan kebanyakkan sesi saya bermain di iPhone XR ini adalah sekitar 10 minit sahaja. Namun ianya berasa memadai buat saya dan dengan prestasi yang pantas melalui peranti tersebut, segala kelancaran dari saya membuka telefon pintar tersebut, menjalankan aplikasi permainan, sehinggalah bermain permainan itu sendiri, kesemuanya dimainkan dengan begitu lancar tanpa sebarang kecacatan, termasuklah juga fungsi getaran sewaktu (Haptic Feedback) yang mana memberi pengalaman sesi permainan yang lebih mendalam.

Kesimpulan

Tuntasnya, peranti iOS sememangnya satu peranti yang sangat bagus sekali untuk permainan mudah-alih, terutamanya dengan menggunakan iPhone XR dan iPad Pro tersebut. Bukan sahaja ianya adalah satu peranti harian yang bagus, malah dari segi kelancaran dan ekosistem yang berhubung antara satu sama lain, ianya memudahkan saya untuk mengakses pelbagai kandungan tanpa perlu menetapkan pelbagai tetapan yang meremehkan.

Tambahan itu, kedua-dua peranti tersebut juga adalah sangat kompak dan ianya sekaligus memberi kebebasan saya untuk terus bermain di mana sahaja, seperti ketika menunggu teksi ataupun ketika rehat seketika di ofis.

Peranti-peranti tersebut juga mempunyai fungsi yang pelbagai dan ia memudahkan saya untuk tidak membawa pelbagai-pelbagai gajet yang lain untuk kegunaan harian saya. Boleh saya katakan iPhone XR yang saya gunakan sekarang adalah satu peranti yang sempurna untuk sesi permainan mudah-alih harian saya.


TIPS & ULASAN