Skip to main content

Sebelum ini, penerbit permainan Final Fantasy VII Remake iaitu Yoshinori Kitase berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan permainan tersebut yang mana mereka menyatakan permainan tersebut bukanlah sekadar permainan pernambah-baikkan, namun ianya adalah permainan olahan secara menyeluruh.

Meskipun begitu, melalui kenyataan tersebut, masih tidak banyak informasi yang dikongsikan oleh Square-Enix dan terdapat pelbagai pertanyaan berkenaan kandungan permainan tersebut memandangkan ianya kini disahkan bakal tiba dalam beberapa bahagian.

Terkini, melalui temu bual bersama Tetsuya Nomura iaitu pengarah permainan tersebut, beliau berkongsi sebilangan informasi tambahan yang mana pasti peminat akan menyukainya.

Antara yang kandungan yang menjadi tanda tanya buat peminat yang bakal tiba di dalam permainan olahan semula ini ialah adegan ketika saat Cloud menyamar untuk menjadi seorang wanita di Honey Bee Inn. Menariknya sekali, Tetsuya Nomura mengesahkan bahawa adegan tersebut sememangnya akan tiba, namun mereka akan mengubah sedikit bentuk adegan tersebut dengan lebih ‘moden’.

Selain itu, beliau juga mengesahkan pelbagai perkara lain seperti Final Fantasy VII Remake akan mempunyai bentuk pilihan dialog berbeza sekaligus kandungan dialog di dalam permainan ini akan lebih banyak berbanding permainan asal. Tambah beliau berkenaan penceritaan pula, mereka sememangnya tidak mengubah cerita utama buat Final Fantasy VII, namun mereka menyertakan beberapa adegan dan senario baharu.

Dari segi watak Tifa pula, beliau sememangnya mempunyai rekaan yang agak berbeza dengan memfokuskan bentuk badan atletik bersama-sama dengan pakaian yang lebih sesuai dengan watak tersebut.

Dari segi bentuk permainan pula, seperti yang dikongsikan oleh Square-Enix sebelum ini, permainan tersebut mempunyai bentuk taktikal yang akan memperlahankan masa sekaligus membenarkan pemain untuk bermain dengan lebih mudah unutk membuat pilihan bertempur. Tetsuya Nomura juga menyatakan akan terdapat beberapa musuh baharu yang bakal di dalam permainan ini.

Dengan perkongsian ini, sudah pasti Final Fantasy VII Remake bakal menjadi permainan terbesar oleh Square-Enix di mana ianya pasti akan memberi satu pengalaman permainan bernostalgia buat peminat. Kami di Aksiz juga kini berminat untuk melihat kembali adegan-adegan di dalam Final Fantasy VII ini di dalam visual yang baharu.

Final Fantasy VII Remake akan dilancarkan pada 3 Mac 2020 ini khas di konsol Playstation 4 dan ianya kini sudah boleh di pra-tempah melalui Playstation Store.

Leave a Reply