Jika anda seperti kami tidak sabar untuk melihat demo terbaru bagi Cyberpunk 2077 terpaksa kita menunggu sekurang-kurangnya sehingga Ogos ini.
Namun, ia tidak bermakna kita tidak mendapat maklumat lanjut mengenai permainan. Melalui perkongsian oleh beberapa media, perkara-perkara menarik mengenai Cyberpunk 2077 dikongsi kan.
Pertama, seperti di dalam The Witcher, pemain boleh memanggil kereta yagn di parkir, untuk kereta tersebut menghampiri pemain. Ini boleh mengelakkan daripada pemain kehilangan kereta yang dimiliki. Selain itu permainan ini juga menyertakan garaj yang membolehkan pemain menyimpan kereta.
Oleh kerana Cyberpunk 2077 berlaku di dunia yang modem, terdapat juga kereta terbang, namun, semasa bermain pemain tidak dapat mengawal kereta tersebut. Sebaliknya, ia hanya boleh digunakan sebagai sebahagian penceritaan di dalam misi tertentu.
Kedua, selain kawasan Night City yang menjadi bandar utama, pemain juga boleh mengembara ke kawasan luar bandar tersebut iaitu Badlands. Ia merupakan kawasan yang mengelilingi Night City. Kawasan tersebut telah musnah selepas kejadian yang berlaku daripada tahun 2020 sehingga 2077.
Kawasan tersebut juga akan mempunyai pengisian tersendiri termasuk juga geng penjahat yang tidak terdapat di dalam Night City. Dengan kata lain, pemain tidak akan terhad kepada Night City sahaja untuk mengembara.
Akhir sekali, bagi yang pernah bermain permainan oleh CD Projekt Red, mereka terkenal dengan menyediakan beberapa pengakhiran berbeza bukan sahaja untuk penceritaan utama permainan tetapi juga untuk misi-misi yang ada. Perkara tersebut akan diteruskan di dalam permainan Cyberpunk 2077.
CD Projekt Red mengesahkan yang ia akan mempunyai beberapa pengakhiran berbeza tetapi tidak mengumumkan jumlah yang ada. Mereka juga mengesahkan yang, pemain boleh menghabiskan keseluruhan permainan tanpa membunuh sesiapa.
Semasa demo pertama dikeluarkan pada tahun lepas, CDPR mengatakan ia adalah sesuatu yang tidak disertakan, akan tetapi selepas mendengar pendapat daripada pemain, mereka akhirnya menyertakan perkara tersebut. Segala misi, tidak kira utama ataupun sampingan, termasuk juga aktiviti sampingan boleh diselesaikan tanpa melakukan sebarang pembunuhan.
Cyberpunk 2077 akan dikeluarkan pada 16 April 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.