Informasi Permainan Video Terkini
Frozen 2 Akan Menceritakan Asal-Usul Kuasa Elsa

Frozen 2 Akan Menceritakan Asal-Usul Kuasa Elsa

Diterbitkan pada June 12, 2019 oleh .

Frozen adalah antara filem animasi Disney yang paling popular. Ia digemari oleh ramai orang, lebih-lebih kanak-kanak. Ini kerana ia mempunyai jalan cerita yang menarik dan mempunyai muzik-muzik yang mudah dinyanyikan bersama. Filem ini ditayangkan pada tahun 2013 dan pada bulan Februari lepas, Disney telah hadir dengan video acah buat sekuel filem ini.

Daripada video acah pertama, ia tidak memberi butiran jelas mengenai jalan cerita filem ini. Apa yang jelas adalah, ia adalah sedikit ‘gelap‘ dan mungkin lebih serius berbanding Frozen yang pertama. Terkini, Disney telah terbitkan video acah kedua buat Frozen 2. Walaupun video acah baru ini masih lagi mempunyai banyak persoalan, ia turut memberi sedikit penjelasan mengenai jalan cerita filem ini. Apa yang jelas adalah, filem ini akan memfokuskan pengembaraan Elsa dan rakan-rakan untuk mencari sumber kuasa Elsa.

Elsa dan rakan-rakan akan menempuhi pelbagai halangan dan cabaran baru. Turut kelihatan adalah musuh-musuh baru dalam bentuk raksasa dan banyak perkara yang penuh dengan misteri. Selain itu, pada awal video – Elsa dilihat telah bertemu dengan satu makhluk dalam bentuk seekor kuda. Menurut Disney, makhluk ini adalah ‘Nokk‘ dan ia adalah satu entiti ‘roh’ air yang menggunakan kuasa laut untuk melindungi rahsia dari hutan. Ada kemungkinan besar yang ‘Nokk’ adalah watak baik dan mungkin akan membantu Elsa.

Pengembaraan baru dalam filem ini akan mempunyai banyak aksi menarik dan penuh misteri. Ia pasti akan menarik perhatian orang ramai. Cuma yang tidak pasti adalah, adakah filem ini akan mengekalkan elemen muzikal yang boleh dinyanyikan bersama-sama dengan penonton? Frozen 2 akan hadir ke pawagam Malaysia pada 27 November 2019 kelak.


TIPS & ULASAN