Siri TV Marvel di Netflix sudah pun sampai penghujungnya. Jessica Jones musim ketiga adalah siri TV Marvel terakhir yang akan disiarkan di Netflix. Siri TV ini juga sama sahaja dengan siri TV Marvel lain di Netflix, yang mana mempunyai kaitan dengan MCU sedikit. Walaupun tidak begitu jelas, namun bagi peminat pasti akan sedar akan petanda-petanda yang hadir dalam siri TV ini.

Untuk Jessica Jones musim ketiga ini, video acah penuh sudah pun diterbitkan pada beberapa hari yang lepas. Namun dalam artikel ini akan saya fokuskan kepada watak pembantu baru yang diperkenalkan dalam siri TV ini.


Hellcat

Patricia “Trish” Walker adalah sahabat baik kepada Jessica Jones. Watak ini dilakonkan oleh Rachel Taylor. Beliau juga merupakan watak yang kerap muncul sejak musim pertama lagi. Sedikit sejarah mengenai beliau, dalam komik – nama beliau adalah Patricia “Patsy” Walker. Namun untuk siri TV, Marvel dan Netflix mengubahnya kepada Patricia “Trish” Walker dan nama Patsy hanyalah nama yang dibenci beliau. Ini kerana Patsy adalah nama zaman mudah beliau dan nama gelaran tersebut amat dibencinya.

Dalam musim kedua, Trish telah mengambil alat sedut yang mengandungi bahan-bahan serum adi-askar dari pil-pil yang digunakan oleh Will dari musim pertama. Pada musim pertama, pil-pil tersebut amat merbahaya. Namun dalam alat penyedut pada musim kedua ini, ia dilihat sudah stabil. Selepas beberapa tragedi, Will ditemui mati dan Trish telah mengambil alat penyedut tersebut dan menggunakannya. Trish kemudiannya ketagih dengan alat penyedut ini dan disebabkan ketagihan ini juga, persahabatan Trish dan Jessica semakin rapuh. Melalui alat penyedut ini, Trish mempunyai kuasa yang agak kuat dan mempunyai tenaga/stamina serta ketahanan sakit yang luar biasa – berbanding dengan manusia biasa.

Dalam video acah Jessica Jones musim ketiga ini, Trish dilihat telah menjadi vigilante baharu – Hellcat. Beliau tidak ingin mengikut jejak langkah Jessica tetapi ingin uruskan segalanya dengan cara beliau tersendiri. Jika kita rujuk pada komik Marvel, watak Patricia Walker adalah adiwira bernama Hellcat. Cuma dalam komik, Hellcat adalah adiwira komedi-romantik dan menerima kuasa beliau melalui satu fenomena mistik. Kemudian skil-skil beliau pula telah dilatih oleh Captain America. Dalam siri TV ini, Hellcat dilihat mempunyai sejarah yang berbeza dan tersendiri.

Kemudian, jelas di sini Hellcat dalam Jessica Jones adalah versi ‘gelap‘ dan lebih ganas. Bukannya seperti komik yang lucu. Tidak pasti jika Hellcat dalam Jessica Jones akan membawa Trish ke arah kegelapan atau akan menjadi adiwira. Harapnya dalam siri TV Jessica Jones musim ketiga ini, kita akan lihat sedikit masa hadapan Hellcat. Mana tahu jika Marvel akan sertakan Hellcat terus dalam MCU.

Foolkiller

Bukan pertama kali satu watak dari komik Marvel yang kurang dikenali, dipopularkan dalam filem atau siri TV. Contohnya dalam filem MCU Guardians of the Galaxy, watak-watak tersebut bukannya pasukan Guardian of the Galaxy sebenar. Mereka mengumpulkan watak-watak yang biasa sahaja, hanya watak pembantu dan menjadikan mereka sebagai watak utama.

Terkini dalam siri TV Jessica Jones musim ketiga, Marvel dan Netflix membawakan watak jahat baharu – Foolkiller. Dalam komik, Foolkiller adalah satu nama yang digunakan berulang kali oleh watak yang berlainan. Untuk dalam siri TV ini, versi Foolkiller yang diperkenalkan adalah versi Gregory Salinger atau nama dalam komik adalah Gregory P. Salinger. Sedikit sejarah mengenai Gregory, beliau pada awalnya dipenjarakan atas menyebabkan kecoh pada orang awam. Ketika dalam penjara, beliau terdengar kisah Foolkiller pertama dari rakan sel penjara.

Ketika Gregory bebas, beliau mencuri segala alatan Foolkiller pertama dan mencuri identiti Foolkiller. Secara tidak langsung, beliau telah menjadi Foolkiller terbaru. Cara pemikiran beliau adalah jika beliau bunuh orang yang jahat, ini bermakna beliau telah mensucikan dunia dari dosa. Niat Gregory adalah baik, tetapi tindakan beliau adalah daripada cara yang haram dan salah. Kemudiannya beliau telah menyertai pasukan Deadpool, Heroes for Hire dan akhir sekali beliau direkrut oleh S.H.I.E.L.D dan menjadi psikiatri untuk membantu penjahat yang ditangkap. Jika beliau tidak bekerjasama, S.H.I.E.L.D akan membunuh beliau (seakan Suicide Squad).

Dalam Jessica Jones musim ketiga, Gregory dilihat ingin membunuh Jessica Jones. Ini kerana beliau menganggap yang Jessica telah diberi peluang yang banyak, namun masih melakukan dosa dan salah silap. Jadi, Gregory ingin membunuh Jessica bagi menyucikan bumi ini daripada dosa seperti Jessica. Dalam video acah ini juga, ia turut memperlihatkan sedikit asal usul Gregory yang dibebaskan dari hukuman kerana kononnya, beliau masuk ke penjara atas tuduhan yang tidak adil. Lanjutan mengenai watak ini masoh misteri, kita hanya akan tahu dalam siaran siri TV ini kelak.


Jessica Jones musim ketiga ini dilihat mungkin akan menarik perhatian ramai. Harapnya ia lebih mudah ditonton dan jalan ceritanya sedikit ringan berbanding musim pertama dan kedua. Inikan musim terakhir buat siri Marvel/Netflix, harapnya mereka tidak menjahanamkan siri TV ini dengan jalan cerita yang merapu. Jessica Jones musim ketiga akan disiarkan di Netflix bermula 14 Jun ini.

Sohor Kini