Di acara EA Play, EA mengumumkan pelbagai pek baharu untuk The Sims 4. Antara yang diumumkan adalah Pek Penambahan Island Living dan Pek Permainan Round of Magic.
Pek Penambahan baharu untuk The Sims 4 adalah Island Living yang akan membawa pemain untuk hidup di kepulauan. Seperti pek-pek penambahan sebelum ini, selain kawasan baharu untuk didiami, pemain juga akan diberikan pelbagai pakaian serta gaya rambut untuk menghias watak.
Buat pertama kali, pemain juga kini dapat memasuki lautan, pemain dapat berenang, snorkel dan juga bermain dengan ikan lumba-lumba. Aktivi lain berdasarkan kepulauan yang boleh dilakukan oleh pemain adalah berjemur, membina istana pasir dan menaiki jet ski.
Bagi kerjaya pula, pemain boleh memilih untuk menjadi Conservationist yang bertanggungjawab untuk menjaga pulau, selain itu terdapat juga kerja sampingan seperti memancing dan juga menjadi lifeguard.
Satu lagi perkara yang menarik mengenai pek penambahan ini adalah kepulauan yang menjadi tempat tinggal pemain akan bertukar dari semasa ke semasa mengikut kelakuan pemain di pulau tersebut. Contohnya, jika pemain tidak menjaga kebersihan, pulau akan menjadi kotor selepas satu jangka masa tertentu.
Pek penambahan Island Living akan tiba pada 21 Jun 2019 untuk PC dan 15 Julai untuk PlayStation 4 dan Xbox One.
Selain itu EA juga mengumumkan pek permainan akan datang untuk The Sims 4 iaitu Realm of Magic. Maklumat lanjut mengenai pek ini akan diumumkan kelak.