Google akhirnya berkongsi lanjut mengenai perkhidmatan penstriman permainan secara awanan mereka iaitu Stadia. Melalui pengumuman baharu yang dilakukan semasa Stadia Connect pertama, harga, tarikh pelancaran dan senarai permainan dikongsikan.
[info]Bacaan Lanjut: Segala Informasi Lanjut Untuk Stadia โ Harga, Permainan Dan Tarikh Pelancaran[/info]Selepas pengumuman tersebut, kita kini serba sedikit dapat mengkaji dan menilai sama ada Stadia adalah berbaloi ataupun tidak. Melalui penulisan ini, saya ingin berkongsi pendapat saya mengenai kelebihan dan kekurangan bagi perkhidmatan Google ini.
Namun, oleh kerana terdapat banyak lagi informasi lanjut yang tidak dikongsi serta ia masih tidak dikeluarkan secara menyeluruh, ada banyak lagi perkara yang boleh diubah oleh Google. Jadi ini adalah pandangan awal dan bukan satu penulisan yang konklusif.
Selepas ia dikeluarkan pada hujung tahun ini dan secara menyeluruh pada tahun hadapan, kelebihan serta kekurangan mungkin akan bertambah ataupun berkurang.

Kelebihan Stadia
Bagi kebanyakan pengguna, Stadia adalah cara paling murah untuk bermain permainan yang sebelum ini hanya boleh dimainkan menggunakan komputer dengan spesifikasi yang tinggi. Ini lah kelebihan pertama Stadia.
Dengan pembayaran sebanyak $9.99 (RM41) sebulan untuk Stadia Pro, pemain dapat bermain permainan dengan resolusi 4K, 60FPS dan juga sistem bunyi 5.1 surround sound. Jika ingin membina PC yang boleh bermain dengan tetapan grafik yang sama, harga PC tersebut mungkin mencecah sehingga RM10 ribu.
Google juga mengumumkan Stadia Base yang boleh digunakan secara percuma tetapi dapat bermain permainan dengan resolusi 1080p dan 60FPS. Dengan tawaran ini, anda bagaikan memiliki satu konsol ataupun PC secara percuma.
Kelebihan kedua adalah berkait dengan harga langganan yang saya terangkan di atas. Ia bukan sahaja satu cara yang murah untuk memiliki konsol ataupun komputer dengan spesifikasi tinggi, anda juga boleh menghentikan langganan pada bila-bila masa.
Ia akan menjadi sangat berguna dengan hadirnya Stadia Base. Contohnya, jika anda tidak mempunyai permainan yang ingin dimainkan secara 4K, anda tidak perlu melanggan Stadia Pro. Pada bulan yang anda ingin bermain secara 4K, anda boleh melanggannya untuk sebulan. Ia akan lebih jimat berbanding membeli konsol ataupun PC.
Kelebihan ketiga sudah semestinya anda tidak terhad kepada satu konsol sahaja, sebaliknya ia boleh dimainkan di mana-mana tempat selagi tempat tersebut mempunyai sambungan Internet yang baik.
Stadia boleh dimainkan di mana-mana komputer ataupun laptop melalui pelayan Chrome, manakala untuk telefon pintar, semasa pelancaran kelak, ia hanya menyokong peranti Pixel 3 dan Pixel 3A manakala untuk TV ia menyokong Google Chromecast Ultra (memerlukan alat kawalan Google).
Ia mungkin nampak terhad, akan tetapi Google menjanjikan lebih banyak peranti akan menyokongnya sebelum ia akan dikeluarkan dengan lebih meluas pada tahun hadapan. Tidak bergantung kepada konsol fizikal, memberikan pemain lebih kebebasan untuk bermain, termasuk juga secara mudah alih.

Kekurangan Stadia
Walaupun dengan kelebihan yang disertakan oleh Stadia terdapat beberapa kekurangan dan juga pengorbanan yang harus dilakukan oleh pemain dengan menggunakan perkhidmatan.
Kekurangan pertama, saya rasa ramai sudah boleh menjangkakannya, iaitu ia memerlukan sambungan internet. Mendapat internet yang mempunyai kelajuan mencukupi mungkin sudah tidak menjadi masalah. Kebanyakan tempat sudah mempunyai Unifi ataupun perkhidmatan lain.
Namun, masih ada masalah kelancaran internet. Perkhidmatan penstriman, kelajuan internet merupakan sebahagian sahaja daripada perkara yang diperlukan. Ia juga memerlukan sambungan yang stabil. Agak menjengkelkan semasa bermain, anda asyik perlu jeda kerana masalah sambungan. Ia bukan secara terus masalah Stadia, tetapi masih merupakan masalah yang berkait untuk menggunakan perkhidmatan ini.
Masalah seterusnya adalah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh pemain iaitu pemilikan permainan yang dibeli. Seperti mana pembelian secara digital yang lain, pembelian secara digital bukanlah satu pemilikan yang penuh seperti mana pembelian secara fizikal.
Ia merupakan masalah yang sama dikongsi oleh konsol dan PC, akan tetapi kedua-dua platform tersebut mempunyai sedikit kelebihan di mana permainan tersebut boleh disimpan secara lokal. Sedangkan Stadia tidak mempunyai fungsi tersebut.
Google ada mengesahkan yang jika penerbit permainan menarik permainan mereka daripada Stadia, sebarang pembelian akan terus kekal. Persoalannya, bagaimana jika Stadia sendiri yang menutup pelayan mereka?
Kekurangan kedua membawa kepada kekurangan ketiga iaitu, kos pemilikan permainan (tambahan lagi ia bukan sepenuhnya dimiliki). Langganan Stadia Pro akan memberikan pelanggan permainan percuma, akan tetapi buat masa ini hanya Destiny 2 sahaja disahkan. Permainan-permainan lain perlu dibeli secara berasingan.
Google buat masa ini tidak mengumumkan secara rasmi mengenai harga untuk permainan bagi perkhidmatan mereka tetapi terdapat beberapa laporan yang mengatakan harga yang ditawarkan mungkin sama dengan di pasaran terkini.
Melainkan Google menawarkan sesuatu yang menarik, agar sukar untuk menjadikan pembelian permainan di Stadia satu perkara yang berbaloi. Pembelian di Stadia adalah satu kekurangan seperti yang saya terangkan pada kekurangan kedua. Menyokong perkhidmatan langganan lain seperti Uplay+ adalah sesuatu yang baik tetapi tidak akan menyelesaikan kekurangan ini.
Kesimpulan
Stadia sudah semestinya sesuatu yang menarik dan serba sedikit akan memberi impak di dalam perkembangan industri permainan video. Dengan kelebihan-kelebihan yang ada, ia sudah semestinya boleh menarik sebilangan pemain untuk melanggannya.
Peluang untuk memiliki konsol ataupun PC spesifikasi tinggi tanpa perlu risaukan pembayaran permulaan yang mahal adalah sangat menarik. Tambahan lagi, ia juga boleh digunakan secara percuma apabila Stadia Base keluar tidak lama lagi juga sangat menarik.
Namun, ia juga hadir dengan beberapa kekurangan ataupun kekangan, pemilikan permainan video dan harga jualan sudah semestinya akan memainkan peranan penting untuk menentukan sama ada pemain akan melakukan pelaburan untuk memiliki permainan di perkhidmatan tersebut.
Satu lagi perkara yang akan menentukan kejayaan Stadia adalah Google sendiri. Adakah Google sanggup melakukan pelaburan yang besar untuk perkhidmatan ini, terutama jika ia tidak membawa keuntungan dengan segera. Bukan sesuatu yang mengejutkan, Google membatalkan projek tertentu selepas ia kurang berjaya.
Buat masa ini kita hanya dapat membuat jangkaan sahaja mengenai Stadia ini, sehinggalah ia akan dikeluarkan dengan lebih meluas pada tahun hadapan. Seperti saya katakan sebelum ini, walau apapun pengakhiran untuk perkhidmatan ini, ia sudah semestinya akan memberi kesan kepada industri permainan secara keseluruhan.
Ini adalah pendapat saya, berdasarkan maklumat terhad untuk sesuatu yang masih tidak dilancarkan. Bagaimana dengan anda? Jika perkhidmatan Stadia ini hadir di Malaysia adakah anda akan melanggannya? Jika ya, apa kelebihan utama yang menarik minat anda? Jika Tidak, apa kekurangan utama Stadia bagi anda?
[info]Bacaan Lanjut: Pandang Pertama Google Stadia โ Adakah Ini Masa Depan Permainan Video?[/info]