Skip to main content

Nintendo dan Game Freaks hari ini mengadakan satu acara Nintendo Direct khas yang mana mereka memfokuskan perkongsian berkenaan permainan Pokémon Sword dan Pokémon Shield. Permainan tersebut diumumkan awal tahun ini di mana ianya bakal tiba eksklusif di konsol Switch.

Terkini melalui acara tersebut, Nintendo mengumumkan pelbagai informasi lanjut berkenaan permainan tersebut, termasuklah tarikh pelancarannya iaitu pada 15 November 2019.

Antara pengumuman baharu yang diperlihatkan adalah bentuk permainan baharu iaitu sistem Dynamax di mana melaluinya pemain berupaya untuk bertempur dengan Pokémon dengan kemahiran yang lebih berkuasa.

Sistem Dynamax ini akan membenarkan pemain untuk mengubah saiz Pokémon menjadi lebih besar dan pada masa yang sama segala kemahiran Pokémon tersebut akan menjadi lebih berkuasa.

Menariknya, sistem ini juga memfokuskan bentuk pertempuran antara ketua Gim, sekaligus ianya membuka bentuk strategi yang lebih taktikal. Ini kerana, sistem tersebut hanya boleh digunakan sekali sahaja ketika bertempur dan ini sekaligus memerlukan pemain untuk bijak memilih masa untuk menggunakannya.

Selain itu, Game Freaks juga memperlihatkan bentuk koperasi, Max Raid Battle di mana pemain berupaya untuk bekerjasama bersama pemain lain untuk menewaskan sebilangan Pokémon di dalam rantau Galar tersebut. Ini juga membuka peluang untuk pemain menangkap Pokémon tersebut, hasil daripada kerjasama antara pemain-pemain.

Game Freaks juga memperlihatkan bentuk dunia Pokémon baharu yang dipanggil ‘Wild Area’ di mana ianya adalah lebih meluas dan pemain berupaya untuk mengawal dan mengubah kamera untuk melihat pelbagai kawasan yang pemain boleh lawati di dalam permainan tersebut.

Game Freaks juga akhirnya memperlihatkan Pokémon lagenda buat permainan Pokémon Sword dan Shield ini iaitu Zacian dan Zamazenta di mana kedua-dua Pokémon ini pasti akan memberi bentuk naratif yang sangat penting buat permainan ini.

Ketika acara tersebut, Game Freaks juga memperlihatkan sebilangan watak-watak baharu yang bakal menemani pemain di rantau Galar ini seperti Leon, Hop dan semestinya watak profesor iaitu Proffesor Magnolia bersama pembantunya Sonia. Pokémon baharu juga diperlihatkan seperti Woolo, Corviknight dan Drednaw.

Pokémon Sword dan Pokémon Shield akan dilancarkan secara rasmi bermula 15 November 2019 eksklusif di konsol Switch dan menariknya, Nintendo juga akan melancarkan berkas berkembar yang mana pemain boleh dapatkan kedua-dua permainan tersebut secara bersama.

Bagi anda yang terlepas dengan acara Nintendo Direct tersebut, anda boleh menonton acara penuh tersebut di bawah.

Leave a Reply