Kemaskini: Bandai Namco memuat-naik episod kedua dan ketiga buat video sebalik takbir permainan Code Vein.
Bagi anda sudah pun menerima akses untuk menyertai beta tertutup buat permainan Code Vein, anda pasti tidak sabar untuk bermain permainan tersebut bermula esok sehingga 3 Jun ini.
Walaupun begitu, sementara anda menanti untuk mencuba beta tersebut, Bandai Namco hari ini berkongsi satu video khas yang mana mereka memperlihatkan disebalik takbir untuk pembangun permainan tersebut bersama-sama dengan sejarah buat permainan tersebut.
Seperti yang dikongsikan di dalam pandang pertama kami untuk Code Vein, permainan ini dibangunkan oleh pasukan pembangun yang terlibat dengan permainan God Eater iaitu Shift. Menurut Yuta Yamamoto, pengarah kandungan permainan tersebut menyatakan bahawa mereka membangunkan permainan Code Vein adalah untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan berbeza dengan God Eater dan pada masa yang sama mempunyai ciri dunia yang serupa.
Melalui Code Vein, watak pemain berupaya untuk menukar diri kepada satu bentuk pontianak yang dipanggil Revenant dan melaluinya pemain akan bergerak secara berpasukan dan mengembara di dalam dunia tersebut untuk menempuh musuh dan sebagainya.
Yuichi Yoda iaitu pengarah aksi permainan tersebut juga menyatakan bahawa memandangkan permainan ini adalah permainan beraksi, beliau menyertakan satu dunia dengan musuh yang agak sukar dan pasti akan memberi cabaran buat pemain. Namun, pada masa yang sama mereka juga memastikan bahawa permainan ini masih lagi sesuai untuk dimainkan buat mereka yang baru dengan permainan bergenre ini.
Bagi anda yang ingin mengetahui informasi lanjut berkenaannya, anda boleh menonton video di atas.
Code Vein dirancang untuk dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC melalui Steam. Dari segi tarikh pelancarannya, ianya masih belum diumumkan namun ianya dijadualkan bakal tiba tahun ini.