Seperti yang diumumkan beberapa hari lepas, Kojima Production dan Sony akhirnya berkongsi lanjut mengenai Death Stranding.

Melalui video acah yang diperlihatkan di saluran Twitch rasmi untuk PlayStation, mereka mengumumkan yang Death Stranding akan tiba pada 8 November 2019 untuk PlayStation 4.

Selepas tertiris hari ini yang kemudiannya dipadamkan, laman untuk melakukan pra-tempah bagi permainan tersebut juga kini dikeluarkan secara rasmi. Bagi versi digital permainan tersebut berharga RM239 untuk edisi biasa dan RM329 untuk edisi Deluxe yang menyertakan barangan emas seperti tertiris sebelum ini.

Berdasarkan video acah pengumuman tersebut, sedikit bentuk permainan diperlihatkan. Ia tampaknya masih mengekalkan bentuk permainan menyelinap, manakala pertempuran terdapat menggunakan tangan dan juga senjata api.

Ia juga memperlihatkan penggunaan pelbagai peralatan, menariknya UI yang digunakan menghampiri UI yang digunakan oleh Horizon: Zero Dawn, mungkin kerana menggunakan enjin yang sama.

Pemain juga tampaknya perlu mengembara di satu kawasan yang luas, menggunakan pelbagai peralatan termasuk juga kenderaan seperti motosikal yang terdapat di dalam video tersebut.

Buat masa ini, saya sendiri masih tidak faham bagaimana bentuk permainan secara keseluruhan termasuk juga penceritaan. Ia banyak bercakap mengenai menyambung semula dunia yang berpecah menggunakan bridge (jambatan). Bayi yang menjadi tarikan permainan ini, juga dikenali sebagai bridge baby.

Manakala untuk watak, selain watak Higgs yang dimainkan oleh Troy Baker, tidak pasti watak-watak lain merupakan watak yang baik atau jahat, terutama watak Cliff yang dimainkan oleh Mads Mikkelsen.

Apapun, ia adalah satu permainan yang terus berjaya menarik perhatian dan sudah semestinya tidak sabar untuk mencubanya bulan November kelak.

Sohor Kini