Informasi Permainan Video Terkini
Black Mirror Musim Kelima – Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Black Mirror Musim Kelima – Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Diterbitkan pada Mei 28, 2019 oleh .

Black Mirror adalah siri TV Netflix Originals yang berkait rapat dengan teknologi yang kita kerap guna. Misalnya, telefon pintar, gajet-gajet, media sosial dan banyak lagi. Fokus siri TV ini adalah kesam negatif terhadap seseorang yang terlampau bergantung pada teknologi dan juga balasannya. Kali terakhir Aksiz berkongsi kisah Black Mirror adalah pada awal tahun ini, iaitu filem interaktif Black Mirror: Bandersnatch.

Agak mengejutkan apabila Netflix hadir dengan satu filem, sedangkan selama empat musim Black Mirror di Netflix kesemuanya adalah bersiri dan mempunyai episod-episod unik tersendiri. Ia tidak bersambungan, tetapi beberapa episod terapat petanda yang ia sedikit berkait dengan episod lain. Contohnya, filem Bandersnatch ada kaitan dengan episod White Bear. Kini musim kelima bakal tiba dan dalam artikel ini kami cuba terangkan apa yang anda perlu tahu mengenai Black Mirror musim kelima ini.


Episod 1. Rachel, Jack and Ashley Too

Episod ini mengisahkan seorang selebriti bernama Ashley yang telah hadir dengan satu robot pembantu yang memimik diri beliau sendiri. Disebabkan ia adalah mimik kepada Ashley, robot ini dinamakan sebagai ‘Ashley Too‘. Keunikan robot ‘Ashley Too’ ini adalah, ia boleh dikatakan adalah klon kepada Ashley cuma dalam bentuk robot. Jadi, peminta-peminat setia akan membelinya.

Masalah mula timbul apabila apa yang berlaku pada Ashley di dunia nyata secara tidak langsung terjadi pada ‘Ashley Too’. Ia seakan Ashley yang sebenar telah diselarikan kepada robot ‘Ashley Too’. Tidak pasti bagaimana ia berlaku, tetapi perkara ini turut mengingatkan saya kepada Chucky dari filem Childs Play. Cuma filem ini ia adalah anak patung yang hidup dan ia ngeri dan seram. Episod Black Mirror ini dilakonkan oleh Miley Cyrus, iaitu seorang penyanyi.

Episod 2. Striking Vipers

Anda rindu akan Falcon atau Captain America baharu? Dalam episod kedua Black Mirror musim kelima ini, ia memfokuskan kepada lakonan Anthony Mackie. Tidak banyak yang boleh dirungkai dari video acah buat episod ini. Apa yang jelas adalah, sepasang suami isteri dilihat mempunyai masalah yang mana Si Isteri inginkan anak tetapi ada masalah. Mereka menggunakan satu aplikasi untuk membantu mereka.

Kemudian, Si Suami pula dilihat semakin berjauhan dan seakan menyembunyikan sesuatu. Di sini juga penggunaan gajet dari episod ketiga musim pertama – “The Entire History of You“. Gajet ini dapat lihat masa silam kehidupan masing-masing, cuma tidak pasti dalam episod adakah ia berkait antara satu sama lain atau sebaliknya. Cuma persoalannya, siapa yang bermasalah? Adakah Si Isteri atau Si Suami? Mungkin akan ada plot twist.

Episod 3. Smithereens

Pernah atau tidak anda membaca berita mengenai kes pemandu kereta seru-pandu dibunuh penumpang? Episod ketiga Black Mirror musim kelima adalah lebih kurang kes ini, cuma pemandu yang mungkin akan membunuh penumpang. Dalam video acah, ia memperlihatkan pemandu ini seakan taksub atau terpengaruh dengan podcast yang didengari beliau. Kemudian beliau mula menculik seorang pekerja dari satu syarikat yang bernama Smithereens. Pemandu ini dilakonkan oleh Andrew Scott yang terkenal dalam siri TV Sherlock.

Tidak pasti apa yang berlaku di sini. Adakah pemandu yang mempunyai masalah atau syarikat Smithereens ini yang membawakan masalah kepada Si Pemandu. Menurut apa yang dibincangkan di laman web, ada kemungkinan besar CEO Smithereens sendiri yang mengarahkan Si Pemandu membunuh para pekerjanya. Ini kerana, terdapat imbasan pelakon Topher Grace yang mungkin adalah suara disebalik podcast tadi dan juga mungkin CEO syarikat besar itu.


Musim terbaru Black Mirror ini akan mula disiarkan di Netflix pada 5 Jun 2019 kelak. Minggu pertama Hari Raya anda boleh saksikan siri TV ini, melalui siri TV ini juga anda mungkin akan sedar yang teknologi tidak semuanya baik untuk diri – malah ada yang membawa padah. Jadi apabila menggunakan sesuatu teknologi beringatlah, jangan terlampau obsesi dengannya.

Selain itu, Netflix juga akan hadir dengan siri pendek Black Mirror berjudul Little Black Mirror. Siri pendek ini adalah sebagai promosi buat musim kelima nanti. Siri-siri pendek ini dilakonkan oleh YouTuber dari sana dan ia juga hanya disiarkan di negara sana sahaja. Bagi yang memang mengikuti siri ini, sama-sama kita nantikan tarikh 5 Jun.


TIPS & ULASAN