Disebabkan keperluan pekerjaan serta kekurangan masa diluangkan bermain permainan video, saya lebih menggemari permainan video yang boleh dihabiskan dengan cepat, walaupun begitu saya juga ingin permainan yang mempunyai pengisian yang pada.
Rage 2 iaitu permainan menembak pandang pertama dunia terbuka oleh id Software dan Avalanche Studios serta diterbitkan oleh Bethesda adalah satu permainan yang boleh dihabiskan dengan cepat, akan tetapi kandungan yang disertakan membuatkan saya tidak berpuas hati terutama penceritaan.
Jika ingin tahu lebih lanjut mengenai Rage 2, berikut adalah ulasan penuh saya.

Cerita
Penceritaan di dalam Rage 2 berlaku 30 tahun selepas kejadian di dalam permainan pertama iaitu Rage yang dikeluarkan pada tahun 2010. Walaupun ia memperlihatkan kumpulan penjahat yang sama iaitu The Authority akan tetapi anda tidak perlu bermain permainan pertama untuk menghayati penceritaan di dalam Rage 2.
Pemain akan mengawal seorang watak bernama Walker, jantina boleh dipilih pada awal permainan. Anda menetap di Vineland bersama dengan mak dan kakak angkat, namun selepas di serang oleh The Authority, anda terpaksa menjadi seorang Ranger untuk misi menghapuskan kumpulan tersebut.
Jalan cerita yang disediakan adalah agak ringkas, ia jelas yang penceritaan adalah perkara sampingan sahaja di dalam permainan ini. Sepanjang penceritaan ia mempunyai interaksi yang ringkas bersama dengan beberapa watak yang lain.

Tiada perkembangan watak yang disertakan, tidak kira watak yang dikawal oleh anda, watak-watak penting yang lain dan juga watak ketua penjahat sendiri iaitu General Cross. Semua watak-watak tersebut hanya diberikan pengisian yang sangat cetek membuatkan saya tidak ambil kisah langsung.
Ya, sudah kebiasaan permainan dunia terbuka mempunyai penceritaan yang ringkas akan tetapi apa yang disediakan oleh Rage 2 adalah menghampiri pengisian yang kosong. Ia mempunyai potensi serta perwatakan yang menarik untuk digunakan tetapi Bethesda melepaskan peluang tersebut.

Bentuk Permainan
Segala yang berlaku di dalam permainan ini dibahagikan kepada tiga iaitu berdasarkan tiga watak utama yang akan membantu pemain di dalam permainan ini iaitu Captain Marshall, Dr. Kvasir dan Loosum Hagar. Tiga watak tersebut akan memberikan barangan yang diperlukan untuk Project Dagger iaitu satu projek untuk melawan The Authority.
Selepas bertemu dengan tiga watak tersebut, anda akan diberikan tiga projek berbeza. Setiap projek itu mempunyai tahap tersendiri dan untuk meningkatkan tahap setiap projek permain perlu melakukan aktiviti sampingan yang berkait dengan projek tersebut, kebiasaan ia diperlihatkan melalui warna di dalam peta.

Setiap projek juga mempunyai kebolehan yang boleh dinyah-kunci oleh pemain menggunakan Project Point yang diperoleh setiap kali pemain meningkatkan tahap untuk mana-mana projek yang ada. Oleh disebabkan kesemua aktiviti sampingan yang ada di dalam permainan ini akan menyumbangkan kepada peningkatan tahap ini, ia akan memberi motivasi kepada pemain untuk melakukannya.
Untuk menghabiskan misi utama, pemain hanya perlu meningkatkan tahap setiap projek tersebut kepada peringkat ke-5 yang akan mengambil masa sekadar 10 jam sahaja di tambah dengan misi utama terakhir, permainan ini boleh dihabiskan secepat 10 sehingga 12 jam.
Misi utama dan misi sampingan akan memerlukan pemain bertempur, sebagai permainan menembak pandang pertama ia boleh dikatakan sebagai kepakaran untuk id Software dan permainan ini juga menyertakan bentuk pertempuran yang sangat menyeronokkan.

Keseronokan bertempur di tambah lagi dengan pemain dapat menggunakan pelbagai kuasa yang boleh dinyah-kunci apabila membuka Ark yang terdapat di pelbagai tempat. Ark tersebut juga akan memberikan senjata baharu yang boleh digunakan.
Kuasa seperti Slam dan Shatter sangat seronok untuk digunakan, ditambah dengan pelbagai senjata yang mempunyai keunikan tersendiri memberi satu pengalaman pertempuran yang sangat mengasyikkan. Ia juga memberi peluang kepada pemain untuk melakukan pelbagai jenis serangan yang berbeza.
Jika meningkatkan tahap dan mencari Ark tidak cukup memotivasikan anda untuk mengembara, anda juga perlu mencari Feltrite yang perlu digunakan untuk meningkatkan tahap kuasa, senjata dan kenderaan. Pemain juga perlu mencari Nanotrites Booster untuk menambah kebolehan kuasa, Weapon Core Mod untuk menambah kebolehan senjata dan Auto Parts untuk menambah kebolehan kereta.
Kesemua benda-benda tersebut memenuhi dunia di dalam permainan ini, ia menjadikan pengembaraan yang membosankan berbaloi untuk dilakukan. Anda juga boleh membeli barangan tersebut kecuali Feltrite di kedai-kedai yang terdapat di dalam permainan ini.

Oleh disebabkan permainan ini sangat mementingkan aktiviti-aktiviti sampingan, aktiviti-aktiviti tersebut memainkan peranan penting untuk menjadikan permainan ini menyeronokkan ataupun tidak dan saya boleh rumuskan ia tidak mengecewakan.
Walaupun anda akan mengulangi beberapa jenis aktiviti yang sama akan tetapi keseronokan pertempuran menjadikan aktiviti tersebut berbaloi untuk diluangkan masa untuk melakukannya. Namun, saya merasakan ia adalah lebih baik jika Rage 2 menyertakan variasi penjahat yang lebih pelbagai terutama untuk penjahat-penjahat besar. Kebanyakan penjahat-penjahat utama hanya mempunyai ketahanan (bullet sponge) tetapi menyerang secara asas sahaja.
Ia juga akan menjadi lebih baik jika aktiviti-aktiviti tersebut tidak kesemuanya bergantung harap kepada bentuk pertempuran sahaja sedangkan ia boleh memerlukan pemain melakukan pelbagai aktiviti lain. Rage 2 juga menyertakan perlumbaan kereta dan juga horde mode yang seronok, tetapi tidak banyak berbeza dengan aktiviti-aktiviti lain.

Grafik
Sebagai permainan dunia terbuka, Rage 2 menyediakan dunia yang luas, tetapi tidak seluas permainan-permainan dunia terbuka yang terkini. Sebagai dunia wasteland, tidak banyak rekaan berbeza yang disertakan di dalam dunia ini. Pemain akan melalui banyak kawasan kosong sahaja yang menjadikan pengembaraan bukan sesuatu yang menakjubkan.
Kualiti grafik yang disertakan di dalam permainan ini juga agak mengecewakan, sekurang-kurangnya untuk versi PlayStation 4 Pro. Kualiti tekstur yang disertakan agak ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan permainan terkini, kekurangan tersebut cuba disorok menggunakan pelbagai sistem lampu yang terang tetapi tidak sangat membantu.

Kekurangan rekaan dunia dan kualiti grafik mungkin memberi kelebihan kepada prestasi permainan yang sangat lancar. Menggunakan sistem pertempuran yang cepat, kelancaran permainan adalah penting dan ia membantu untuk menjadikan bentuk pertempuran lebih menyeronokkan.
Satu lagi perkara yang baik adalah rekaan sesetengah peringkat tertutup yang digunakan untuk misi adalah baik, menjadikan pertempuran lebih menarik. Ini membuktikan yang permainan ini lebih baik jika dijadikan sebagai permainan aksi pengembaraan seperti DOOM berbanding permainan dunia terbuka.
Audio
Permainan ini mempunyai muzik latar yang baik akan tetapi agak mengecewakan tidak kesemua pertempuran akan menyertakan muzik latar. Satu keseronokan apabila bermain DOOM adalah pertempuran berlaku bersama dengan muzik lantar yang rancak, Rage 2 harus mempunyai perkara yang sama.
Kesan bunyi juga dilakukan dengan baik, bunyi senjata, penggunaan kuasa dan kereta memberi impak yang baik, menambahkan lagi keseronokan pertempuran yang secara sendirinya sudah mengasyikkan.
Lakonan suara yang disertakan adalah baik akan tetapi ia sangat jarang digunakan kerana penceritaan yang ringkas menjadikan ia tidak sangat memberi kesan kepada permainan. Namun, satu perkara yang baik adalah watak yang dikawal pemain juga mempunyai suara dan tidak membisu seperti sesetengah permainan lain.
Rumusan
Akhir kata, Rage 2 adalah satu permainan yang sangat menyeronokkan kerana menyertakan bentuk permainan yang baik bersama dengan pertempuran yang sangat baik. Namun ia agak mengecewakan kerana penceritaan serta pengisian dunia sangat cetek membuatkan permainan ini tidak mencapai tahap yang sepatutnya.
Oleh disebabkan itu, agak sukar untuk saya mengesyorkan permainan ini dengan harga penuh, walaupun begitu ia masih satu permainan yang berbaloi untuk meluangkan masa anda walaupun untuk satu jangka masa yang pendek.

Penafian: Kod ulasan untuk permainan Rage 2 disediakan oleh Bethesda.