Jajahan THQ Nordic kini kembali di mana studio seterusnya yang dimiliki oleh mereka kini adalah Piranha Bytes, di mana mereka terkenal dengan permainan seperti Gothic, Risen dan Elex yang dilancarkan beberapa tahun lepas.
Melalui perolehan ini, THQ Nordic akan memiliki kesemua studio pembangun dan termasuklah hak intelek permainan mereka. Menurut THQ Noridc, Piranha Bytes masih lagi adalah satu studio pembangun permainan bebas dan mereka masih akan memfokus membangunkan pemrainan video dengan penuh kebebasan kreatif dan THQ Nordic hanya akan menjadi penerbit untuk permainan mereka akan datang.
Semestinya ini adalah satu perkara yang tidak begitu mengejutkan memandangkan THQ Nordic tampaknya mula meluaskan jajahan mereka di mana sebelum ini mereka dilaporkan mempunyai lebih dari 50 permainan yang sedang dibangunkan. Semestinya dengan perolehan ini, senarai permainan yang bakal tiba oleh mereka akan terus meningkat.
Bercakap berkenaan permainan, THQ Nordic juga mengumumkan bahawa mereka telah menanda tangan projek baharu bersama 4A Games, iaitu pembangun terkenal dengan siri permainan Metro, untuk satu permainan bertarafkan AAA. Buat masa ini informasi lanjut tidak dikongsikan.