Codemasters hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa kembali permainan perlumbaan GRID ke konsol Playstation 4, Xbox One dan PC menjelang September ini.
Melalui video acah yang dikongsikan di IGN, permainan GRID kali ini adalah olahan semula untuk permainan asal GRID yang lebih dari 10 tahun lepas. Bagi anda yang baru dengan siri ini, GRID merupakan permainan simulasi perlumbaan yang memfokuskan perlumbaan kereta di pelbagai jenis litar. Apa yang menariknya adalah permainan ini mempunyai satu sistem ‘Flashback’ yang membenarkan pemain untuk putarkan kembali masa jika pemain melakukan kesilapan.
Buat masa ini tidak banyak informasi yang dikongsikan dan fungsi Flashback tersebut tidak pasti sama ianya akan disertakan atau tidak di dalam permainan GRID baharu ini. Akan tetapi berdasarkan video acah yang diperlihatkan di atas, tampaknya sistem tersebut mungkin akan disertakan memandangkan ianya mempunyai bentuk adegan kembalikan masa.
Namun apa yang pasti adalah permainan ini akan dilancarkan pada 13 September dan Codemasters akan melancarkan dua edisi iaitu edisi biasa dan edisi Ultiamte yang akan menyertakan kandungan musim 1 hingga 3.