Antara permainan yang diumumkan ketika acara Nindies pada Mac lepas iaitu RAD yang dibangunkan oleh Double Fine Production dan diterbitkan oleh Bandai Namco, kini akhirnya mendapat tarikh pelancaran rasmi. Menurut kenyataan rasmi Bandai Namco, permainan tersebut akan dilancarkan pada 20 Ogos 2019 ini di Playstation 4, Xbox One dan Switch.
RAD merupakan permainan aksi yang memfokuskan lokasi radioaktif pasca-apokaliptik di mana pemain akan bermain dan bertempur di dalam dunia tersebut. Menariknya, dunia permainan tersebut dijana secara tersendiri dengan berkongsepkan mutasi dan pemain juga berupaya untuk mengubah bentuk badan pemain dengan pelbagai jenis mutasi berbeza.
Bersempena dengan pengumuman ini, Double Fine Production juga mengumumkan mereka akan mengadakan pertandingan karya seni grafiti RAD khas yang mana peminat boleh menghantar sebarang karya seni melalui laman rasmi permainan RAD. Bagi anda yang berminat, terdapat pelbagai hadiah yang disediakan oleh Double Fine Production seperti papan luncur, figura dan sebagainya.